Selepas menghabiskan jutaan ringgit dalam kempen besar-besaran menggagalkan tunjuk perasaan haram Bersih akhirnya kerajaan terpaksa menghalalkannya selepas S. Ambiga, A. Samad Said dan Zaid Kamarudin menghadap Yang Dipertuan Agong.
Matlamat asal kerajaan BN yang tidak mahu sama sekali berlakunya sebarang perhimpunan telah kecundang. Pakatan Rakyat dan sekumpulan NGO yang mahu menunjukkan kemarahan terhadap penipuan dalam sistem pilihanraya Malaysia akhirnya menemui kejayaan. Walaupun Najib berkata penggunaan stadium telah ditawarkan sejak awal lagi namun berapa banyakkah stadium yang tidak dibenarkan polis untuk digunakan bagi berhimpun dengan pelbagai alasan keselamatan. Terutamanya perhimpunan yang merugikan nama baik BN.
Ternyata rakyat yang cintakan keadilan telah menang dalam pusingan pertama. BN yang terpaksa mengerahkan polis membuat tangkapan borong serta memfitnah Bersih selama dua minggu di stesen penyiaran dan akhbar terpaksa tunduk kepada satu perhimpunan yang mendedahkan kecurangan mereka dalam mengendalikan pilihanraya.
Modal besar
Bukan sedikit modal yang ditabur untuk memfitnah Bersih. Sekurang-kurangnya 3 slot iklan telah ditayangkan pada setiap hari di semua stesen televisyen bagi mencaci perhimpunan itu. Belum pernah dalam sejarah Malaysia wujud usaha memburuk-burukkan pihak musuh sedemikian rupa dan tentunya ia dibiayai bajet yang besar pada ketika rakyat disuruh berjimat-cermat.
Pihak polis juga telah bersusah payah mencipta kes ke atas Bersih. Perampasan baju T Bersih tidak boleh disabitkan apa-apa kesalahan kecuali terdapat ancaman yang benar-benar serius. Oleh itu terpaksa pula dibuat beberapa sidang media menggambarkan wujudnya unsur komunis dalam perhimpunan berkenaan. Menggunakan tuduhan komunis bagi menangkap musuh politik sudah basi di kebanyakan negara kerana gerakan komunis sudah tidak wujud. Bagaimanapun bagi BN apa sahaja perlu dilakukan. Rampasan terbaharu menunjukkan beberapa bilah parang, molotov cocktail dan baju T Bersih dikatakan akan digunakan pada hari perhimpunan.
Polis berhujah rampasan di Pertama Kompleks dan Gombak itu menunjukkan satu taktik gerakan komunis dalam usaha menimbulkan kekacauan. Mereka menyembunyikan senjata di kedudukan strategik dan mengunakannya pada waktu tertentu . Bagaimanakah polis tahu ia aktiviti komunis sedangkan siasatan masih berjalan?
Molotov cocktail yang ditunjuk pada wartawan pula dikategorikan sebagai ‘mewah’ dan seolah-olah dihasilkan di ‘kilang’. Sebabnya botol yang digunakan dari jenis yang sama. Malah sumbunya pun dari jenis kain yang sama. Tunjuk perasaan menggunakan molotov di luar negara yang dirakam oleh kemera televisyen menyaksikan sumbu dibuat dari apa sahaja jenis kain dan apa sahaja jenis botol asalkan botol itu boleh pecah ketika dilontar dan terbakar.
Perkara yang paling pelik tentulah mengenai baju T Bersih yang dibariskan bersama molotov. Adakah baju itu turut disembunyikan sebagai senjata? Baju T untuk penyokong Pakatan Rakyat biasanya dijual, tidak ada sehelai pun yang diberi percuma. Tidak mungkin baju itu disorokkan di tempat strategik sehingga hari perhimpunan. Bilakah pula masanya baju itu akan dijual? Hanya parti pemerintah yang terlalu kaya mampu memberi baju percuma kepada penyokong. Jadi, jika baju itu tersorok maka rakyat boleh menilai pihak mana yang mencetak baju tersebut.
Perhimpuan halal
Persoalan yang lebih besar ketika perhimpunan telah menjadi HALAL tentunya mengenai iklan mencaci perhimpunan haram yang masih diteruskan siarannya di televisyen. Begitu juga dengan pendakwaan di mahkamah kepada pemilik baju T Bersih dan ahli PSM di bawah Ordinan Darurat. Jika dua pihak berperang menandatangani perjanjian damai maka semua pendakwaan digugurkan, perbuatan yang menghina pihak bertentangan dihentikan dan harta rampasan dikembalikan.
Namun apa yang diperolehi oleh PR serta NGO dalam perjanjian damai dengan BN amat berlainan. Mereka masih dibuli, peperangan diteruskan oleh pihak pemerintah ke atas perhimpunan haram. Hal ini membuat rakyat sangsi mengenai kejujuran BN membenarkan perhimpunan HALAL di stadium. Menjadi harapan semua agar pihak polis tidak menyerbu mana-mana stadium menjelang tarikh 9 Julai ini. Dikhuatiri benda-benda pelik yang mereka ditemui di luar itu akan ditemui pula di stadium. Maka pemerintah memberi alasan stadium juga tidak selamat digunakan dan tidak boleh berhimpun sama sekali.
Kita mengharapkan selepas Tuanku Sultan Mizan bersusah-payah ‘mengamankan’ negara dari fitnah yang ditimbulkan BN keadaan akan berjalan aman dan selesa. Perhimpunan di stadium terang-terangan telah mencabul hak asasi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan berhimpun di tempat terbuka namun sanggup diterima penganjur demi mentaati perintah Agong.
Oleh itu kerajaan BN juga perlu menghormati titah Agong. Untuk dua hari berbaki berilah liputan yang baik tentang perhimpunan Bersih di media massa. Juga benarkan mana-mana stadium yang diminta oleh penganjur untuk digunakan. Atau sebaliknya, maka perhimpunan akan kembali ke tapak asal jika terus disekat
Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis, tidak semestinya mewakili pangangan suarapakatandaily