Pakatan rakyat mempertikaikan tindakan Perdana Menteri Najib Razak yang akan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memperbaiki proses pilihanraya di Malaysia.
Menurut Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, penubuhan jawatankuasa itu lebih kepada dalih Najib setelah genap 7 hari tempoh yang diberikan oleh PR untuk kerajaan BN memanggil sidang tergempar Parlimen membincangkan isu pemberian taraf kewarganegaraan kepada warga asing dan mendaftarkan nama mereka sebagai pengundi.
“PM respond dengan tuntutan kita dan beliau akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen, tetapi katanya jawatankuasa itu akan fokus kepada proses pembaharuan pilihanraya sahaja. Saya menyeru PM agar jangan lari dari fokus asal, khususnya isu warga asing mendapat kerakyatan dalam beberapa jam sahaja dan mudahnya warganegara (baru) menjadi pengundi.
“Isu ini tidak boleh dikomromi kerana itu kita menuntut sidang khas parlimen bukannya jawatankuasa khas. Setelah gagal mengadakan sidang khas parlimen sepatutnya PM mengadakan pendengaran awam. Diwujudkan sessi di seluruh negara yang mana rakyat boleh tampil memberikan bukti pemalsuan kerakyatan,” ujar Salehuddin dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.
Sallehudin juga menolak cara penubuhan jawatankuasa khas itu. Ia dilaksanakan dengan tergesa-gesa dan tidak memaklumkan kepada Pakatan Rakyat. Pemimpin PR hanya mengetahuinya melalui laporan agensi berita.
“Saya baca di laman web Bernama, esok jawatankuasa akan ditubuhkan. Mengapa PR tidak dihubungi. Bagaimanakah syarat-syarat dan kuasa jawatankuasa ini, semuanya menjadi misteri? Tidak guna tubuhkan jawatankuasa yang diketuai pihak kerajaan dan PR kelak hanya menjadi minioriti,” sambungnya
Beliau tidak menolak sekiranya usaha bererusan untuk mendesak kerajaan BN menyelesaikan isu tersebut gagal mencapai matlamatnya, PR akan bertemu Agong meminta ditubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi melaksanakan siasatan.
“Bagaimakah orang asing yang tidak faham dengan situasi negara ini boleh menentukan proses politik dan hala tuju negara. Isu ini amat besar kesannya kepada keselamatan negara.
“Kalau isu ini tidak boleh diselesaikan oleh kerajaan BN kita akan menghadap Agong dan meminta agar ditubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat isu berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai juga berkongsi kemusykilan Salahuddin. Katanya, jawatankuasa khas sepatutnya ditubuhkan melalui usul di Parlimen bukan ditubuhkan oleh PM Najib.
“Penubuhan jawatankuasa mesti didahului dengan mesyuarat persediaan. Jawatankuasa juga perlu usul dari seorang menteri, misalnya Nazri Aziz di Dewan Rakyat mengikut peraturan 81 – 84. Jawatan kuasa ini juga perlu direstui ahli parlimen,” katanya.
Setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali curiga apakah jawatankuasa khas itu mempunyai masa yang cukup untuk melaksanakan tugas sebelum Najib membubarkan parlimen
“Adakah Najib boleh beri jaminan selagimana jawatankuasa khas ini melaksanakan tugas maka parlimen tidak dibubarkan. Ini penting kita tahu.
“Tidak ada gunanya jawatankuasa khas jika parlimen dibubar waktu tugas-tugas jawatankuasa itu belum selesai,” katanya.
Bagaimanapun kesemua pemimpin PR bersetuju untuk tunggu dan lihat bagaimanakah kerajaan BN menubuhkan jawatankuasa khas itu. Mereka terbuka untuk berbincang dengan BN dan melihat kuasa-kuasa yang dibekalkan kepada jawatankuasa.
Turut hadir di dalam sidang media itu ialah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Dr Hatta Ramli, Khalid Samad dan beberapa orang ADUN