Tumbangnya diktator Libya Muammar Gaddafi di ambang Aidilfitri tahun ini memberi peringatan kepada diktator lain di dunia. Regim Basyar al Asad di Syiria mungkin sempat menyambut Aidilfitri tahun ini tetapi tahun hadapan mungkin pemimpin regim itu beraya di penjara. Tidak kurang yang perlu beringat ialah regim BN yang telah berkuasa selama 54 tahun di Malaysia. Semakin lama berkuasa tanpa dicabar pemimpinnya semakin bongkak dan menindas rakyat.
Regim BN tidak kira era pemerintahan Dr Mahathir, Pak Lah atau Najib semuanya membanggakan diri disokong oleh jutaan rakyat. Umno kononnya parti Melayu terbesar di dunia dengan 3 juta ahli. Sedangkan parti-parti di Indonesia lebih ramai ahlinya. Cuma tidak menggunakan nama Melayu. Setiap tempat Perdana Menteri pergi pasti disambut ribuan rakyat. Pelbagai kaum memuji langkah politik, ekonomi serta sosial pemerintah.
Diktator yang tumbang itu lebih hebat sambutan rakyat. Gaddafi setiap kali berucap puluhan ribu rakyat Libya terlonjak-lonjak mendengar ucapannya. Seolah-olah Gaddafi boleh memberi rahmat kepada mereka. Sehabis berucap kepala Gaddafi berlendir dicium oleh puluhan rakyatnya. Wanita menjerit-jerit menyokongnya serta mencaci Barat atau pemerintah dunia Arab lain yang pro-Barat. Kemunculan Gaddafi di khalayak umum persis seorang nabi yang diturunkan tuhan untuk membimbing manusia.
Pembangkang menang
Namun apabila tentera pakatan pembangkang yang berpusat di Benghazi masuk ke Tripoli, rakyat di bandaraya itu bersorak gembira menyambut wira pembebas itu. Tentera pembangkang masuk ke bandar itu tanpa tentangan malah penduduk Tripoli pula yang menyerang tentera Gaddafi. Sedangkan seminggu sebelumnya kemunculan anak Gaddafi pun disambut ribuan rakyat. Sebulan lalu pidato Gaddafi masih didengar puluhan ribu rakyat di Dataran Hijau. Bandar-bandar yang ditawan pembangkang jatuh semula ke tangan Gaddafi. Menteri Penerangan mendakwa kesemua pemberontak dibunuh oleh penduduk tempatan. Betapa setianya rakyat kepada Gaddafi
Peristiwa ini mengimbas kembali detik tentera Amerika Syarikat masuk ke kota Baghdad. Seminggu sebelum itu stesen Al Jazeera masih menyiarkan presiden Saddam Hussein disambut oleh rakyat apabila tiba-tiba muncul di pinggir bandaraya itu. Semangat mereka tidak luntur biarpun dibom berminggu lamanya. Namun hari Rabu kejatuhan Saddam, pada hujung Mac 2003, penduduk Bahgdad keluar ke jalan raya membawa potret Saddam dan selipar untuk dilepuk ke potret itu. Dari mana sumber sokongan yang disiar di televisyen itu? Adakah rakyat diupah atau terlalu takutkan regim mengganasi mereka.
Sokongan palsu
Sokongan palsu yang dirancang oleh pengampu sekeliling diktator inilah yang menyebabkan sang diktator merasa terlau besar dan hebat. Maka mereka tidak rasa bersalah menindas rakyat. Tidak rasa berdosa membunuh. Merompak wang negara dianggap hadiah dari rakyat. Memberi kekayaan kepada kroni disamakan dengan memberi harta peribadi kepada rakan taulan.
Semua perkara yang dilakukan oleh para diktator dilakukan oleh regim BN selama setengah abad memerintah. Kuasa diperturun seolah-olah takhta. Anak-anak pemimpin kemudiannya menjadi Perdana Menteri. ‘Perdana Menteri bangsawan ‘ kata Sasterawan Negara A Samad Said.
Dengan kejatuhan regim pujaan rakyat di Afrika Utara bermula dari Zine El Abidine Ben Ali di Tunisia, Hosni Mubarak Mesir dan kini Gaddafi di Libya, sewajarnya regim BN di Malaysia membuka mata seluas-luasnya. Penghujung mereka pasti akan tiba tidak lama lagi. Kononnya, bagi mereka, revolusi popular yang menumbangkang Tunisia dan Mesir tidak akan berlaku di Libya. Rakyat tidak upaya melawan kekuatan tentera. Namun terbukti rakyat mampu menang melawan tentera.Di manakah BN akan berlindung selepas ini?
Sedarlah sang penguasa. Penipuan pilihanraya dan kezaliman tidak akan bertahan lama. Sekali lagi benar kata-kata Pak Samad; ‘Kezaliman akan pasti mempunyai tarikh luputnya.’ Dan tarikh luput BN tidak jauh di hadapan. Melainkan BN menjadi lebih baik daripada sekarang
Bertaubat dari menindas rakyat. Bertaubat dari menggunakan polis mendera rakyat. Bertaubat dari mencuri kekayaan rakyat. Bertaubat dari menipu dan memperdaya rakyat. Dan yang paling besar, bertaubat dari menggunakan isu agama, serbuan gereja dan sebagainya untuk menimbulkan ketegangan agama. Lupakanlah saman ke atas Mustafa Ali. Tidak ada gunanya menang saman jika beberapa bulan kemudian Umno menghadapi puluhan tuduhan pecah amanah. Wang saman tidak laku dipenjara.
BN akan menjadi bahan ketawa umum jika tumbang sebelum memperbaiki diri. Atau lebih teruk lagi pemimpinnya terpaksa melarikan diri keluar negara dan mati di bumi asing seperti Ferdinand Marcos Presiden Filipina.
Masa suntuk
Tidak banyak masa untuk pemimpin BN berfikir. Politik adu domba perkauman semakin ditolak. Tunjuk perasaan Bersih yang menghimpunkan puluhan ribu rakyat pelbagai kaum menghadapi keganasan polis adalah loceng amaran yang nyaring.
Petanda sangat jelas semua kaum tidak lagi termakan dakyah perkauman yang didendangkan BN sejak 50 tahun lalu. Tidak mungkin ada rusuhan kaum lagi untuk dijadikan modal mengapa perlu rakyat bersandar pada Umno, MCA dan MIC. Apabila rakyat telah selesa hidup berbilang kaum sebagaimana acuan Pakatan Rakyat maka musuh mereka yang utama adalah BN yang telah menipu mereka sejak sekian lama.
Apabila tiba detik itu tiada apa yang boleh dilakukan BN. Polis akan lari menyelamatkan diri. Tentera juga tidak akan mengambil peranan selain seperti di Mesir, duduk di atas kereta perisai bersama rakyat. Detik itu amat mengerikan bagi BN tetapi detik gemilang bagi rakyat yang tertekan.
Cukuplah mendera rakyat. Kembalikan hak untuk bersuara. Kembalikan pilihanraya yang adil dan bebas. Seandainya BN kalah secara terhormat mereka tetap boleh menang semula di waktu lain. Sama halnya seperti negara-negara yang cerah demokrasinya. Pemimpin bersilih ganti dari pelbagai parti politik. Rakyat amat tidak faham mengapa BN menganggap kekalahan pilihanraya adalah kiamat bagi mereka. Umno,MCA dan MIC bubar. Lebih dahsyat orang Melayu akan ditindas Cina. Malaysia huru-hara.
Terbukti dakyah sama dilemparkan pada setiap saat di ambang pilihanraya 2008 lalu. Namun Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Wilayah Persekutuan tumbang juga. Sehingga hari ini penyokong setia Umno,MCA dan MIC menunggu janji huru-hara yang diucapkan pemimpin mereka untuk berpesta mencaci kawan-kawan lain yang menyokong Pakatan Rakyat. Namun ia tidak berlaku.
Pemerintahan Pakatan Rakyat terbukti lebih baik daripada BN dan kian disokong oleh rakyat. Situasi yang sama apabila Ben Ali, Hosni dan Gaddafi terguling. Apa yang dikatakan huru-hara, bukan huru-hara tetapi pesta pembebasan ketika angin segar demokrasi yang tidak pernah dinikmati rakyat melanda negara.
Hari-hari terakhir BN semakin hampir. Namun ia boleh dilambatkan dengan pemulihan demokrasi. Sebaliknya akan dipercepatkan jika Najib terus berdolak-dalih mengenai reformasi pilihanraya. Seolah-olah sengaja
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan suarapakatandaily