Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini menghentam MIC kerana tidak menyampaikan maklumat sebenar permasalahan kaum India.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata selama dalam kerajaan dia hanya mendengar cerita daripada seorang pemimpin kaum India daripada MIC.
“Tidak adil jika katakan saya tidak buat apa-apa untuk bangsa India. Setelah saya tinggalkan Umno dan sertai parti lain barulah saya sedar terdapat banyak masalah,” katanya dalam sesi bual bicara anjuran Hindraf di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor malam tadi.
Beliau berkata 22 tahun pentadbirannya bertindak ke atas maklumat dan permintaan daripada MIC, parti terbesar masyarakat India ketika itu, yang dipimpin tokoh besar mereka, Tun S Samy Vellu.
“Dalam Barisan Nasional (BN) setiap komuniti diwakili parti masing-masing dan bangsa India diwakili MIC. Apa yang dilakukan kerajaan adalah berdasarkan permintaan dari MIC untuk kaum India.”
Beliau turut membidas seorang ahli politik MIC yang tidak beliau namakan malam ini atas kelemahan itu.
“Dia tidak akan benarkan sesiapa yang mengugat kedudukannya. Sesiapa yang mencabarnya akan diusir dari parti. Selepas saya bersara dari dalam kerajaan dia masih ada.
“Dulu pemimpin MIC ini puji saya melambung, tetapi kini katakan saya tidak buat apa-apa pula untuk kaum India.”
Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) muncul pada 2007 sebagai respon kepada masalah kemiskinan, perwakilan politik dan agama masyarakat Hindu dan India berlatarkan dasar politik dan ekonomi berasaskan kaum di negara ini.
Tunjuk perasaan tahun itu, yang disertai antara 5,000 hingga 30,000 orang, membawa kepada gelombang yang menyumbang kepada kemenangan pembangkang di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dan majoriti kerusi Parlimen di Kuala Lumpur pada PRU 2008.
Hindraf tahun lepas mengumumkan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya umum ke-14.
Malam tadi, Dr Mahathir berkata MIC tidak lagi relevan untuk menjaga kebajikan masyarakat India.
“Masyarakat India tidak perlukan satu parti dan satu orang sahaja untuk jaga kebajikan bangsa India. Sewaktu saya dalam kerajaan, hanya ada seorang pemimpin yang menjaga kebajikan kaum India.
“Kini dalam PH, anda tidak diwakili satu parti. Ada wakil India dalam DAP, PKR bahkan Amanah juga membuka ruang kepada kaum India. Bangsa India akan lebih banyak wakil.
“Wakil India untuk 3 parti ini sudah banyak. Pemimpin India dalam 3 parti ini lebih banyak dari pemimpin MIC yang ada ketika ini,” katanya. – FMT