TERTARIK benar rasa hati saya apabila membaca kenyataan Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor, Dr Hassan Ali yang begitu hebat perjuangan beliau di dalam menjaga akidah umat Islam khususnya di Selangor. PAS sememangnya beruntung mendapat Dr Hassan Ali kerana beliau tidak takut pada sesiapa kecuali pada Allah dan inilah pemimpin yang kita mahukan.
Kenyataan Dr Hassan Ali di dalam Malaysiakini amat hebat bunyinya, ” perjuangan memantapkan akidah umat Islam sentiasa menjadi keutamaan. “Hasan Ali, Hasan (untuk) akidah. Hasan Ali, hidup akidah, mati pun atas nama akidah,” tegasnya (Malaysiakini). Oleh kerana akidahlah maka Dr Hassan Ali hadir di dalam HIMPUN tempohari, ini bererti pemimpin PAS yang lain seperti Tuan Guru Hj Hadi dan Tuan Guru Nik Aziz tidak ambil berat soal akidah seperti Dr Hassan Ali kerana PAS buat keputusan tidak mahu terlibat di dalam HIMPUN.
Oleh kerana akidah lah maka ramai di kalangan YB-YB dari PAS yang dilarang memberi syarahan agama atau tazkirah di dalam masjid sekiranya tiada Tauliah. Mereka semua bukan ambil berat pasal akidah, sebab itu tidak layak mendapat Tauliah. Dr Hassan Ali tentu ada Tauliah sebab itu beliau boleh berkhutbah di mana-mana masjid dan beliau memang layak pun dapat Tauliah pasal beliau ambil berat soal akidah. Bob Lokman? Jauh sekali. Bob Lokman bekas artis mana layak dapat Tauliah sedangkan YB Khalid Samad yang berpuluh tahun di dalam Parti Islam pun tidak layak mendapat Tauliah, ini kan pula keturunan Tok Kenali ini.
Oleh kerana tiada Tauliah lah maka Bob Lokman diburu oleh `kumpulan penyelamat akidah’ iaitu JAIS. Bob Lokman bercakap di hadapan orang ramai di Rumah Allah agar manusia berbuat baik dan tinggalkan yang mungkar. Bob Lokman ceritakan kekesalannya sewaktu di zaman Jahiliyyah beliau dulu. JAIS kata Bob Lokman salah kerana tiada Tauliah untuk bercakap sedemikian. Kalau Bob Lokman bercakap untuk mengajak manusia beramai-ramai mengikuti konsert atau Raja Lawak yang beliau menjadi Jurinya, mustahil Bob Lokman akan diburu.
Mungkin ketika Bob Lokman di zaman Jahiliyyah, beliau mempunyai Tauliah dari J.A.I.S (Jabatan Arah Ikut Syaitan) juga sebab itu beliau selamat untuk melakukan maksiat.
Saya amat tidak bersetuju dengan tulisan Ketua Dewan Pemuda PAS, Us Nasruddin di sini kerana merayu-rayu untuk JAIS beri ruang kepada Pendakwah. Bob Lokman bukan Pendakwah seperti Dr Hassan Ali. Bahkan, Ketua Pemuda PAS itu pun bukan Pendakwah. Lesen untuk menjadi Pendakwah mestilah ada Tauliah. Dr Hassan Ali punyai Tauliah yang besar, jika tidak masakan boleh `berdakwah dan bertazkirah dalam gelap’ dengan Umno dahulu?