Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang dijangka berlaku pada Mac 2012, teka-teki mengenai calon Menteri Besar Perak yang baharu terus menarik perhatian rakyat negeri itu.
Banyak pihak berpendapat Dr Zambry Kadir yang tidak berkarismatik dan tidak disenangi oleh kebanyakan ADUN Umno Perak akan diganti dengan muka baru. Oleh yang demikian, terdapat desas-desus Umno Perak sedang bergelut dengan perebutan para ADUN untuk menonjolkan diri bagi dipilih menjadi pengganti Dr Zambri sekiranya BN menang di Perak.
Sehubungan itu, Dr Raja Ahmad Al Hiss Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mencabar Barisan Nasional (BN) Perak segera menamakan calon Menteri Besar sebagaimana Dewan Pemuda PAS telah pun menamakan Datuk Seri Ir Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak seandainya Pakatan Rakyat berjaya merampas kembali negeri itu dalam PRU akan datang.
“Setelah ‘rampasan kuasa’ awal Februari 2009, tiba-tiba timbul nama Dr Zambry Abdul Kadir melangkaui banyak pemegang jawatan utama yang layak ketika itu dilantik menjadi MB. Sudah tentu kedudukan Zambry (seperti bidan terjun) menjadi persoalan sama ada dia akan dikekalkan atau tidak selepas PRU ke-13 nanti.
“Adakah Tajol Rosli akan kembali menerajui Perak? Ataupun Timbalan Pengerusi Umno-BN Perak Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang akan dinamakan sebagai pengganti Zambry?” tanyanya.
Raja ahmad membayangkan Umno mungkin menggembalikan jaguh di peringkat pusat Zahid Hamidi ke negeri itu untuk menjadi Menteri Besar bagi memastikan Umno memiliki pemimpin yang cukup kuat berdepan dengan Pakatan Rakyat yang diterajui beberapa tokoh besar seperti Nizar, Ngeh Ko Ham dan Dr Lee Boon Chye.
“Mungkin juga Naib Presiden Umno, Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan bertanding di Dewan Undangan Negeri kali ini.
“Apa pun kami telah mengisytiharkan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon Menteri Besar untuk Pakatan Rakyat Perak. Kini kami menunggu BN mengisytiharkan calon mereka pula,” ujarnya