KAHERAH, 3 Disember: Menurut sumber Al-Jazeera, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) yang diasaskan Ikhwan Muslimin di Mesir telah berjaya mendapat kira-kira 40% undi, menurut keputusan akhir peringkat pertama pilihanraya.
Tempat kedua disandang Parti Nur (Salafi) dengan peratusan undian sebanyak 20%, kemudian Pakatan Mesir dengan peratusan undian sebanyak 15%.
Menurut keputusan itu juga, Parti Wasat mendapat 6% undi, diikuti Parti Wafd dengan 5% undi dan Parti Thaurah Mustamirah dengan 3% undi.
Pengarah Suruhanjaya Agung Pilihanraya, Abdul Muiz Ibrahim mengumumkan bahawa peratusan keluar mengundi bagi Pilihanraya Parlimen yang pertama sejak kejatuhan Presiden Hosni Mubarak ini mencapai sehingga 62% dan menyifatkannya sebagai yang tertinggi di negara ini, dengan jumlah undian dari dalam dan luar negara yang melebihi jangkaan.
Ibrahim menjelaskan bahawa bilangan pengundi yang layak mengundi pada peringkat pertama, yang meliputi sembilan muhafazah, mencecah sehingga 13,614,525 pengundi. 8,449,115 daripada mereka keluar mengundi.
Tambah beliau, secara keseluruhannya, undi yang tidak rosak mencecah 7,931,148 undi manakala bilangan undi rosak sebanyak 517,967. Seramai 10,143 ahli badan kehakiman terlibat dalam penyeliaan proses pilihanraya kali ini.