Berikutan tempoh seminggu yang diberi kepada Perdana Menteri Najib Razak agar beliau memohon maaf atas penghinaannya terhadap peneroka dengan cacian haram jadah, maka satu laporan polis dibuat oleh beberapa orang peneroka di Ibu Pejabat Polis Temerloh, Pahang baru-baru ini.
Menurut mereka, ucapan Najib itu sengaja diucapkan dengan niat menghina kelompok peneroka yang membantah usaha kerajaan menyenaraikan FGVH ke bursa saham.
Selain itu, mereka juga membuat laporan polis ke atas Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Rancangan (JKKR) Jengka 15 Adnan Darus yang menuduh beberapa orang peneroka yang memfailkan saman ke atas FGVH tetapi mengambil duit ‘durian runtuh’ di akhbar Utusan Malaysia dan Harian Metro.
Salah seorang peneroka yang membuat laporan, Jamaluddin Syed Mohammad dari Jengka 17 berkata, akhbar Utusan Malaysia pada 18 Mei lalu telah menyiarkan berita bertajuk ‘Peneroka Fail Injunksi Ambil Cek Durian Runtuh’ dan memaparkan gambar dua orang peneroka yang sedang menerima cek. Sedangkan gambar yang disiar itu tidak merujuk nama peneroka yang didedahkan. Tindakan saman malu akan diambil terhadap kedua-dua akhbar tersebut .
“Akhbar itu mendakwa peneroka-peneroka yang menjadi tumpuan ramai, sengaja menebalkan muka apabila tampil mengambil cek durian runtuh.
“Akhbar tersebut juga sengaja mengada-adakan cerita, kononnya kami berlima mengambil cek dalam keadaan tergesa-gesa dengan memberi alasan mempunyai urusan lain bagi menggambarkan kami malu (sedangkan kelima-lima peneroka tidak hadir dimajlis itu),” ujar Jamaluddin.
Tambahnya, akhbar berkenaan turut memesongkan fakta mendakwa kononnya kedua-dua peneroka itu memfailkan injunksi menghalang penyenaraian FGVH, sedangkan injunksi yang diambil peneroka untuk menghalang pelupusan aset KPF kepada FGVH.