Poskad soalan ‘Tanya Rosmah’ kini telah diterjemah ke dalam Bahasa Mandarin dan akan diedarkan keseluruh negara, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Lee Khai Loon.
“Sambutan kempen poskad sehingga sekarang sangat menggalakkan. Orang ramai bukan sahaja tanda tangan dengan nama sendiri atas poskad.
“Selain mereka faham dengan isu dari tiga soalan yang ditanyakan, malah mereka menambah sendiri soalan untuk dijawab Rosmah, isteri Perdana Menteri.
“Ketika membuat edaran, ramai yang tahu tentang kempen AMK ini. Mereka ketawa dengan cara kreatif ini,” kata Khai Loon kepada Keadilandaily.
Tambah Khai Loon, beliau bersama AMK Pulau Pinang turut berkempen dan mengedarkan poskad ‘Tanya Rosmah’ diatas Bukit Mertajam, dekat Cheruk To’ Kun sambil membawa replika poskad, Ahad lalu.
“Ia juga peluang kita berjumpa masyarakat sambil mengedar risalah ‘100 Hari Janji Pakatan Rakyat’ dan mengajak orang ramai turun ke Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka 12 Januari depan,” katanya.
Dalam pada itu Khai Loon memberitahu, setiap AMK Cabang dan Negeri telah dihantar kit maklumat kempen edaran poskad ‘Tanya Rosmah’.
“Ikut kreativiti dan idea kawan-kawan AMK. Sekarang yang ada ialah dalam bahasa Melayu dan Mandarin. Tak salah sekiranay mahu diterjemah ke dalam bahasa Tamil dan Inggeris,” kata Khai Loon.
Kempen edaran 50,000 poskad kempen ‘Tanya Rosmah’ dilancarkan pada ‘Jelajah Merdeka Rakyat, Suara Anak Muda’ di Dataran Anak Muda, Taman Petaling Utama 21 Disember lalu.
Tiga soalan ditujukan kepada Rosmah Mansor iaitu; sumpah Najib mengenai perkenalannya dengan Altantuya, peranan Deepak dalam pemalsuan perakuan sumpah PI Bala dan sebab mengapa Rosmah masih berdiam diri.