Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mendesak peguam veteran Tan Sri Cecil Abraham membersihkan namanya selepas spekulasi dikaitkan merangka perakuan bersumpah (SD) kedua penyiasat persendirian P Balasubramiam.
“Cecil masih tak nafikan (penglibatannya). Sebab itu kita minta Majlis Peguam siasat. Ini melibatkan perlakuan anggota mereka yang berdaftar,” kata Mahfuz kepada Keadilandaily.
“Perkara ini bersalahan dengan undang-undang,” kata Mahfuz menjelaskan, perbuatan mendorong seseorang menukar perakuan sumpah salah dari segi undang-undamg.
Cecil menjadi tumpuan spekulasi selepas temubual Deepak dengan Harakahdaily dan nama peguam tersebut telah dipadamkan pada video temubual itu seperti disiarkan di YouTube.
Manakala aktivis dan peguam Haris Ibrahim mendakwa peguam tersebut adalah seorang Tan Sri – mencetuskan spekulasi bahawa peguam itu adalah Cecil.
“Kerajaan perlu buka siasatan. Kalau perlu siasatan SPRM, siasat segera,” jelasnya, merujuk pengakuan Deepak yang menjadi orang tengah mengurus pemberian wang kepada Bala untuk menarik SD pertamanya.
Pada 21 Disember lalu, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua mendesak Polis memyiasat adik Najib Razak, Datuk Nazim, Deepak Jaikishan, peguam Cecil Abraham, peguam Arulampalam dan P Balasubramaniam.
Kelima mereka terlibat mengubah perakuan Bala dan tindakan itu bersalahan di bawah Akta Akuan Berkanun 1960.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata akan menyerahkan memorandum kepada YDP Agong sekiranya pendedahan Deepak masih tidak disiasat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Pejabat Peguam Negara dan PDRM.
“Kita beri tempoh dua minggu, kerana ini soal maruah dan institusi negara,” tegas Mahfuz pada sidang media di ibu pejabat Pas hari ini.