Elemen negara diktator boleh dilihat dari sikap penguasa yang menyekat maklumat dan penguasaan media arus perdana, kata bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Kadir Sheikh Fadzir.
“Paling penting untuk sebuah negara demokrasi ialah media yang bebas. Tapi, bebaskah media kita? 100 peratus mereka (BN) kawal.
“Televisyen, akhbar-akhbar arus perdana…Kalau lihat di Malaysia ini, kita gambarkan penyokong Pas ada 50 peratus, tapi akhbar Harakah dibenar dijual untuk ahli sahaja,” katanya pada ceramah Jelajah Anak Muda ke Himpunan #KL112 di padang Flat PPR Kempas, Johor malam tadi.
Kadir, antara menteri dalam kerajaan yang pernah ‘membuka ruang demokrasi media’ apabila menganjurkan program ‘Debat Perdana di TV1 pada 2004 – 2006.
Program tersebut menghimpunkan pemimpin Barisan Alternatif dan ahli parlimen berhujah berhubung isu semasa dalam program debat selama sejam yang disiar secara langsung di seluruh negara.
“Tapi sekarang tengok isu ‘Amanat Haji Hadi’. Sebulan mereka berdusta. Bila (Haji Hadi) nak jawab, minta sejam pun tak nak bagi, nak tapis. Mana boleh tapis. Nama sahaja demokrasi, tapi diktator!, tegas Kadir.
“Kalau kita tengok TV sekarang, ia telah jadi alat propaganda paling rendah yang memperbodoh dan menghina. rakyat Malaysia,” katanya.
“Jabatan kerajaan negara demokrasi tak boleh gunakan jentera awam untuk berkempen bagi satu pihak. Semua kena neutral.
“Tapi kita tengok sekarang. Semua diperguna. Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat), Felda, Felcra, Jasa (Jabatan Hal Ehwal Khas, JPM), cwangan khas, unit ATM, semua. Tak boleh masuk campur!, tegas Kadir.
Justeru, beliau memberikan komitmen untuk bersama sejuta rakyat dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka 12 Januari depan.
“Kita kena selamarkan negara kita. Kita kena ingat kembali perjuangan bapa-bapa kemerdekaan kita. Maka, saya sendiri akan turut bersama saudara semua di Himpunan Kebangkitan Rakyat,” kata Kadir disambut laungan takbir hadirin.