Proses membuang undi berjalan lancar hari ini namun di sesetengah pusat pembuangan undi, pengundi keliru apabila nama mereka ditukar tanpa persetujuan.
Seawal jam 9.30 pagi, di pusat mengundi Sekolah Rendah Kebangsaan La Sale, Jalan Gasing, Petang Jaya, seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai En Khoo terkilan namanya telah ditukar ke kawasan lain yang terletak agak jauh.
“Saya sudah dua kali undi di sini sekarang tukar sekolah lain,” katanya yang tinggal di Kampung Sentosa Petaling Jaya dan kelihatan resah menunggu kenderaan perayu undi DAP untuk menghantarnya ke Seksyen 17, kira-kira 3 kilometer dari sekolah tersebut.
Mengulas isu sama, petugas Paca DAP Tom Pereira berkata, pilihan raya kali ini hampir sama dengan PRU 2004. Katanya, selepas 127 orang memeriksa nama di sekolah La Salle, terdapat 10 kes nama ditukar ke sekolah lain.
“Kebanyakan mereka mengadu telah memeriksa nama di laman web SPR dua minggu lalu, tempat mengundi di sekolah ini. Tapi hari ini nama mereka tiada.
“Macam mana SPR boleh tukar dengan mudah nama mereka dan tanpa persetujuan pengundi. Ada dua kes yang teruk nama mereka ditukar ke Sarawak dan pastinya mereka tidak membuang undi,” katanya.