Pengamal media dilarang membuat liputan manakala jalan disekat kira-kira 300 meter dari Lokap Berpusat Jinjang kerana ‘arahan orang atasan’
Pengadang jalan turut dipasang manakala kira-kira sepuluh anggota polis mengawal sekatan bagi menghalang orang ramai dan mengalihkan kenderaan yang lalu untuk keluar dari kawasan tersebut.
Menurut seorang anggota polis berpangkat Koperal yang tidak mahu dinamakan, beliau diarahkan untuk tidak membenarkan media masuk ke kawasan perkarangan Lokap Berpusat Jinjang.
“Tidak dibenarkan sesiapa masuk ke kawasan ini. Media atau orang awam. Ini arahan orang atasan,” katanya berkeras walaupun wartawan Keadilandaily telah menunjukkan pas media.
Menurut maklumat aktivis, 33 kini ditahan dalam himpunan di depan bangunan Parlimen hari ini dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang selepas diambil keterangan di IPD Dang Wangi.
Seorang tahanan, Shauki Aziz cedera teruk di muka dipercayai ditendang anggota polis dan masih belum mendapat rawatan selepas dua jam ditahan.
Difahamkan pasukan peguam kini bergegas ke Lokap Berpusat Jinjang untuk urusan jamin.