Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN Yahya Shari berkata peningkatan kadar inflasi sejak kebelakangan ini amat menekan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Katanya, nilai pendapatan rakyat tidak bertambah tetapi peningkatan harga barang keperluan harian mengurangkan kualiti kehidupan keluarga.
“Inflasi lebih membebankan masyarakat luar bandar. Golongan ini biasanya berpendapatan rendah. Bekerja di sektor pertanian. Harga jualan sayur-sayuran dan ternakan misalnya, tidak meningkat.
“Golongan pendapatan rendah di bandar juga tertekan, terutama kos makanan. Gaji sekitar RM900 dengan kos harian meningkat dan pendapatan yang boleh dibawa pulang hampir tidak ada amat membebankan,” katanya.
Yahya tidak bersetuju penarikan susbdi minyak untuk memodalkan Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M.
“Berapa ramai yang menerima BR1M. Hanya segelintir rakyat tetapi sebahagian besar lagi tertekan untuk meneruskan hidup seharian dengan peningkatan kos yang berterusan,” katanya.
Beliau juga berkata peningkatan harga minyak tidak dapat dielak berlakunya peningkatan inflasi. Kadar inflasi diumumkan kerajaan pada September lalu meningkat 0.2 peratus daripada 2 peratus sebelum ini. Manakala pakar-pakar ekonomi mendakwa inflasi sebenar telah mencecah 2. 53 peratus dan berlaku peningkatan sehingga 0.5 peratus.