Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mendesak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak segera mengumum kadar tol Jambatan Kedua Pulau Pinang ekoran ia dijangka mula dibuka pada bulan ini.
“Jambatan kedua Pulau Pinang dilapor dibuka bulan November, tetapi hingga kini rakyat Pulau Pinang belum diberitahu kadar tol dan tempoh masa konsesi. Persoalannya adakah kadar tol diselaras antara jambatan pertama dan kedua dan bilakah konsesi Jambatan Pertama tamat.
“Ini persoalan kerap ditanya rakyat Pulau Pinang kerana perlu membuat perancangan untuk kos logistik mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada 7 November lalu.
Sebelum, pelbagai kenyataan bercanggah dikeluarkan pentadbiran Najib mengenai kadar tol jambatan itu selain membisu setiap kali didesak Sim di Parlimen.
“Pada sidang Parlimen lalu, saya menanya Kementerian Kerja Raya ‘adakah kadar Tol Jambatan Kedua Pulau Pinang sudah diputuskan. Jika Ya, berapakah kadarnya?’ Tetapi Menteri Kerja Raya hanya menjawab ‘kadar tol akan diumum kerajaan sebaik projek siap sepenuhnya’.
“Perdana Menteri pernah umum kadar tol kereta biasa RM9.40. Kemudian ada pihak berkuasa pula umum kadar tol RM8.50. Pada 10 Mac 2012, dilapor pula kadar tol RM7 tetapi tempoh konsesi dipanjangkan ke 2038, semua ini mengelirukan,” katanya bimbang kadar sebenar lebih tinggi daripada dinyatakan sekaligus membeban pengguna.
Setakat 30 Jun lalu Jambatan Kedua 96 peratus siap dan berdasarkan perjanjian, projek dengan kos RM4.5 billion dijangka siap penuh bulan ini dan dibuka kepada lalu lintas selewatnya akhir 2013.
“Saya juga pernah bertanya tempoh pulangan modal projek dan menteri jawab ‘Ia tertakluk kepada jumlah kenderaan dan kadar tol dikenakan sepanjang tempoh konsesi,” katanya mendesak Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof memberi maklumat terkini perkembangan projek.
(Visited 659 times, 1 visits today)