Usaha Jabatan-Jabatan Kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen membuat operasi besar-besaran berikutan dua kejadian besar yang menggemparkan negara yang telah berlaku pembunuhan kejam Pegawai Bank dan juga rompakan Kedai Emas oleh Pengawal Keselamatan baru-baru ini seolah-olah sudah terhantuk baru tergadah.
Dalam dua tragedi itu Pengawal Keselamatan tersebut mempunyai Kad Pengenalan palsu.
Operasi yang dilakukan walaupun agak terlambat telah berjaya menangkap lebih sepuluh (10) orang Pengawal Keselamatan yang mempunyai Kad Pengenalan palsu. Kebanyakannya menggunakan kerakyatan Sabah dan kebanyakan mereka datangnya dari negara Filipina.
Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata walaupun berjaya membongkar ‘kerakyatan palsu’ namun banyak lagi pertanyaan yang belum terjawab dan perlu dibongkar oleh pihak bertanggungjawab.
“Sudah tentu rakyat tertanya, adakah mereka yang memiliki Kad Pengenalan palsu ini mendaftar juga sebagai pemilih bagi melayakan mereka mengundi setiap kali Pilihan Raya di dalam negara kita? Dua kejadian tersebut secara tidak langsung mendedahkan bahawa Malaysia kini di dalam bahaya dengan suasana yang berlaku dan malah dengan beberapa tangkapan baru-baru ini juga mendapati bahawa kebanyakan mereka memiliki Kad Pengenalan palsu yang diperolehi dari Negeri Sabah khasnya. Adakah ianya berkaitan ‘Projek I/C’ yang pernah didedahkan? Bagaimana pula begitu mudah Kad Pengenalan palsu ini yang menyerupai Kad Pengenalan rakyat Malaysia?
“Kami mendesak agar Kerajaan Malaysia menubuh satu Jawatankuasa DiRaja bagi menyiasat keselamatan Kad Pengenalan sedia ada kerana dicurigai disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu. Bagi kami ini adalah isu keselamatan dan semua pihak perlu bersatu menyokong usaha ini demi keselamatan negara kita. Bagi kami pihak kerajaan jangan terlalu banyak memberikan pelbagai alasan bagi menafikan situasi genting ini. Persoalan kami, apakah jaminan isu keselamatan terutamanya yang menembusi kerakyatan sedangkan mereka adalah warga asing yang bermaharaja mencabuli dan melakukan kekejaman yang gagal diatasi oleh kerajaan yang menjadi tempat pelindung rakyatnya!” katanya dalam satu kenyataan.
.