Tugas anggota Polis Cawangan Khas perlu dirombak semula bagi memanafaatkan kemahiran yang dimiliki mereka bagi menangani masalah jenayah.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata pendedahan bahawa terdapat lebih 30 peratus dari keseluruhan anggota polis ditugaskan dibawah cawangan tersebut sangat mengejutkan.
“Adalah sesuatu yang sangat mengejutkan apabila kita diberitahu lebih dari 30 peratus anggota polis ditugaskan dibawah cawangan tersebut, mereka ini ditugaskan mengintip dan mengekori ahli politik pakatan rakyat.
“Mereka ini yang mempunyai kemahiran dalam risikan yang sebenarnya dapat menyelesaikan kes kes jenayah besar seperti jenayah kongsi gelap dan banyak lagi masalah jenayah berat dalam negara.
“Jadi mengapa aset paling bernilai ini dibazirkan kerana kepentingan politik kerajaan semata-mata,” tegas Sim yang mendesak penstrukturan semula cawangan itu dibuat.
Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar pada 12 November lalu mempersoalkan mengapa anggota cawangan khas tidak ditugaskan bagi tugas mencegah jenayah.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, anggota cawangan khas telah membuat 830,000 laporan intipan yang kebanyakannya berkaitan ahli politik Pakatan, berbanding dengan anggota CID yang menyelesaikan 60,000 kes jenayah.
“Mengapa mereka tidak boleh diletakkan ke dalam CID supaya kita boleh meningkatkan kadar siasatan jenayah,” soal Nurul Izzah.