IPOH : Alternatif Riding Club (ARC) di bawah naungan Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan (DACS) Negeri Perak telah mengadakan penjenamaan semula kelabnya di dalam program anjurannya iaitu ‘ARC PERAK Gathering Day’ yang telah berjaya mengumpulkan lebih tiga ratus motor.
Majlis yang disempurnakan oleh Pengarah DACS Malaysia, Zulkarnain Zaki tersebut menerima pelbagai jenis kehadiran motor termasuk yang berkuasa tinggi secara berkonvoi dari seluruh kawasan Parlimen di Perak ke tempat program di Seri Iskandar yang bermula jam 9.00 pagi.
Penunggang motor yang memakai baju berwarna hijau tersebut yang berkumpul di dalam program penjenamaan semula ARC Perak ini diwarnai dengan pelbagai program yang dimulakan dengan gimik perlancaran menerima bendera ARC simbolik penjenamaan semula bagi menarik ramai anak muda untuk bersama.
Selain itu program yang telah diatur seperti persembahan Artis Iman Huri Alias dan Kumpulan Indie Band mengisi pentas program tersebut selain ucapan-ucapan dari peneraju DACS dan ARC serta satu pengisian baru berbentuk tazkirah yang disampaikan oleh Naqib DACS, Ustaz Isran Fahmi Ismail tentang sukan dan permotoran dalam Islam.
Acara Motor Lambat, Motor Binggit dan motor retro cantik menerima banyak penyertaan dengan pelbagai jenis motor yang menyertainya serta imbuhan hadiah yang disediakan oleh penganjur selain cabutan bertuah yang menunggu peserta yang bertuah selain terdapat gerai-gerai menjual alat-alat permotoran juga turut dibuka.
Turut memeriahkan program ini adalah Pengarah DACS Negeri Perak, Salman Saleh dan Presiden ARC Malaysia, Hafiz Rois yang mengharapkan ramai anak muda untuk menyertai ARC Perak dan mereka boleh berhubung dengan Pengarah ARC Perak, Hasnan di talian – 0175221191 atau Roslan di talian – 0194227268.