Oleh: Selena Tay
Ekonomi Malaysia walaupun sejak 1 Julai lalu digambarkan baik apabila agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings menaikan kedudukan kewangan Malaysia daripada negatif kepada stabil, tetap tidak mampu meredakan kebimbangan rakyat mengenai prospek kemelesetan.
Situasi itu digambarkan oleh rakan penulis yang bekerja di sebuah bank di Kuala Lumpur. Beliau memberitahu bahawa pada setiap hari Jumaat, tidak kira hujung bulan atau tidak, ramai orang akan mengeluarkan sejumlah wang di antara RM500 hingga RM2,000 dari akaun simpanan mereka, kononnya untuk hal-hal kecemasan pada hari Sabtu atau pun Ahad.
Namun fenomena seumpama ini hanya berlaku sejak awal tahun ini sahaja. Mengapakah terjadi begitu?
Sumber dalaman dari sektor perbankan memberitahu rakyat kini berasa semakin kurang yakin terhadap ekonomi negara apabila subsidi minyak ditarik-balik pada hujung tahun lalu.
Seorang pelabur asing yang enggan dikenali baru-baru ini memberitahu penulis, bahawa sebanyak RM8.7 bilion wang pelaburan asing telah mengalir keluar dan kini beliau serta rakan senegaranya berasa kurang yakin untuk terus melabur di Malaysia disebabkan oleh skandal pembelian hartanah MARA di Australia.
“Kami kurang pasti mengenai latar belakang isu pembelian hartanah-hartanah itu tetapi ia kelihatan sangat tak baik dan akan menjejaskan imej kerajaan Malaysia pada masa depan kalau tiada penerangan yang munasabah diberikan,” katanya.
Justeru itu, bolehlah dirumuskan bahawa pada masa ini rakyat dan pelabur asing sudah kurang yakin dengan janji-janji manis dan polisi pentadbiran kerajaan BN.
Namun, persoalannya, adakah Perdana Menteri Najib Tun Razak sedar mengenai perkara ini?