Tiga belas calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding dalam piliharaya negeri (PRN) Sarawak mengeluarkan tujuh tawaran dalam usaha mereka mendapatkan sokongan dalam pengundian yang dijadualkan Sabtu ini.
Mengetuai calon-calon Amanah, Mohamad Fidzuan Zaidi ketika melancarkan tawaran itu memohon kepada rakyat Sarawak mengundi Amanah di tempat-tempat parti itu bertanding.
“Amanah pilihan kami dan rakyat Sarawak,” katanya.
Tujuh tawaran itu katanya, dimulakan dengan janji akan menjadi pembangkang yang kuat dalam pentadbiran Sarawak.
“Ini bermaksud kami akan memastikan ketua kerajaan negeri tidak melakukan keputusan sewenang-wenangnya dan mengutamakan kepentingan rakyat dalam membuat segala polisi dan dasar negeri,” katanya.
Senarai tawaran-tawaran lain yang dikemukakan adalah sebagaimana berikut,
Tawaran kedua: Reformasi pentadbiran tanah untuk memperjuangkan pemilikan geran tanah rakyat yang mereka duduki dan beli. Isu ini telah berdekad lamanya tidak diberi perhatian oleh kerajaan negeri. Amanah menawarkan tokoh aktivis untuk tujuan ini.
Tawaran ketiga: Memansuhkan GST, iaitu menjadi kumpulan pendesak kepada kerajaan negeri agar menekan kerajaan pusat supaya memansuhkan terus cukai GST yang memberi kesan langsung kepada semua lapisan rakyat. Cukai ini ternyata memberikan beban berganda kepada semua rakyat khasnya di negeri Sarawak.
Tawaran keempat: Memperjuangkan peluang pekerja dalam industri hiliran iaitu mengalakkan kegiatan industri hiliran kepada sumber asli negeri khasnya balak, sawit dan minyak untuk mencipta pekerjaan untuk anak negeri. Menggunakan kuasa veto kerajaan negeri untuk mengawal kemasukan pekerja asing. Memastikan pekerja asing yang masuk bekerja di sektor yang perlu sahaja bukan merampas ruang pekerjaan yang sepatutnya di isi oleh anak Sarawak.
Tawaran kelima: Pembangunan di kawasan pedalaman, bagi memastikan kerajaan negeri melaksanakan program pembangunan dan infrastruktur untuk kepentingan ramai berbanding kepentingan peribadi sehingga projek rakyat di kesampingkan. Projek seperti perumahan mampu milik, bazar perniagaan dan kemudahan jeti di kawasan nelayan dan petani perlu diberikan keutamaan.
Tawaran keenam: Kualiti hidup, iaitu terus mendesak supaya ditingkatkan kualiti hidup rakyat dengan mempertingkatkan keperluan asas iaitu air bersih, letrik, jalan raya dan pusat kesihatan untuk semua rakyat di segenap kawasan. Selain itu amalan beragama dan hubungan antara kaum yang harmoni harus diperteguhkan. Bagi Amanah semua ini adalah keperluan asas yang minima untuk rakyat hidup dengan sejahtera.
Tawaran ketujuh: Menuntut 20 peratus royalti minyak di mana Amanah akan menyokong kerajaan negeri jika mereka mahu mendapatkan hak 20% royalti minyak.
“Kami akan menyokong kerajaan negeri jika mereka mahu mendapatkan hak 20% royalti minyak,” kata Fidzuan.