Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mencadangkan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor melelong barang-barang peribadi berjenama miliknya untuk didermakan ke tabung hari pahlawan.
Beliau berkata, barang-barang berharga Rosmah seperti cincin berlian, beg tangan, jam tangan dan sebagainya jika ditukar dengan wang tunai boleh membantu perajurit yang telah banyak berjasa kepada negara.
“Bukankah elok kalau Rosmah yang memiliki banyak beg tangan berharga, jam berjenama, cincin berlian, telefon tangan yang harga ratusan ribu ringgit dan barang barang kemas disumbangkan kepada tabung Hari Pahlawan.
“Saya percaya jika barangan milik Rosmah dicairkan kepada wang tunai banyak dapat membantu perajurit tanah air yang berjasa pada negara,” katanya.
Rosmah yang juga penaung Tabung Pahlawan sebelum ini menggesa lebih ramai rakyat Malaysia memberikan sumbangan kepada tabung khusus untuk bekas tentera itu.
Mahfuz juga mempersoalkan ke manakah hilangnya GLC dan kontraktor yang memperoleh banyak projek di bawah kementerian pertahanan. Mengapakah mereka tidak menyumbang derma?
“Berapakah jumlah sumbangan syarikat yang memperolehi projek kapal selam, kereta perisai dan macam-macam projek bernilai bilion ringgit Malaysia itu.
“Ataukah mereka lebih banyak menyumbang untuk program-program politik pemimpin Umno daripada melihat kepentingan dan kebajikan perajurit tanahair?
“Takkan Rosmah isteri perdana menteri tak tau di mana syarikat-syarikat ini. Atau syarikat ini pun turut menyumbang senyap-senyap pada Rosmah?” soalnya.