Tindakan ‘sapu licin’ khazanah di Kelantan berlaku sebelum hilang kuasa memandangkan kemenangan Pas pada pilihan raya umum akan datang tidak terjamin lagi, dakwa Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Kelantan, Khairul Nizam Abd Ghani.
Beliau berkata demikian ketika mengulas jangkaan operasi pihak kerajaan negeri merobohkan halangan (blocked) Orang Asli dalam masa terdekat bagi memastikan balak dapat dikeluarkan dengan apa cara sekalipun.
“Kerajaan yang sedang menunggu kalah dan sibuk membersihkan khazanah negeri berada dalam posisi tidak boleh berunding. Penyusunan kampung-kampung Orang Asli masih belum diwartakan walau sudah diluluskan,” dipetik daripada status Facebook beliau malam tadi.
Menurutnya, hanya sebilangan sahaja penempatan Orang Asli diwartawakn manakala hampir 100 kampung masih belum diselaras dan diberi perimeter hutan, sumber air serta diwartakan.
“Penyusunan dan pewartaan ini penting bagi menjamin hak Orang Asli walau parti yang mentadbir kerajaan bertukar ganti. Keadaan kini mencemaskan kerana penggal bubar dikatakan Mac depan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Khairul berkata, pihaknya akan mengemukakan surat memohon rundingan kepada kerajaan negeri bagi tujuan pewartaan tersebut.
“Tempoh dua minggu. Jika tidak, satu aksi nekad akan berlaku sama ada di SUK (Setiausaha Kerajaan) atau di rumah pemimpin negeri yang terpilih, mengikut kemampuan.
“Bagaimana terjejas kehidupan pemerintah (sedikit), begitulah terjejas kehidupan mereka (Orang Asli) sehari-hari, selama berpuluh tahun (banyak),” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, sumber Orang Asli dari Kampung Pos Pasik memberitahu Malaysia Dateline bahawa pihak Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan akan mrempuh tiga blocked pukul 8 pagi ini.