Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 yang berakhir hari ini tidak membincangkan banyak perkara yang menyentuh kehidupan rakyat marhaen, sebaliknya lebih kepada pesta menghentam lawan politik.
Albert Kwok, 55 tahun, seorang usahawan hartanah berkata, beliau kecewa kerana persidangan parti tulang belakang pemerintahan BN itu tidak digunakan sebaik-baiknya untuk mencari resolusi mengatasi masalah negara dan kemuraman ekonomi yang meresahkan rakyat.
“Dalam Perhimpunan Agung Umno ini, semua perwakilan hanya menghentam Pakatan Harapan, terutamanya DAP dan juga Tun Dr Mahathir. Saya perhatikan tidak ada pembentangan apa-apa idea untuk menurunkan kos sara hidup atau mengurangkan beban rakyat.
“Rakyat tertunggu-tunggu berita baik dari kerajaan tentang bagaimana kos sara hidup dapat dikurangkan tetapi hampa sehingga sidang itu berakhir,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurut Albert, isu perbelanjaan harian adalah isu yang memberi tekanan hebat kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Ditambah lagi nilai ringgit yang jatuh merudum, banyak perniagaan melaporkan penurunan dalam angka jualan dan terdapat juga yang rugi.
“Banyak perniagaan kecil akan tutup hujung tahun ini dan tahun depan selepas Tahun Baru Cina (pada 28 Januari). Usahawan kecil berpendapat tidak berbaloi untuk terus beroperasi lagi.
“Mereka seperti pemilik kedai barangan logam, salun rambut, kedai alat tulis, kedai peralatan sembahyang Cina dan sebagainya sangat sukar untuk meneruskan perniagaan dalam suasana ekonomi yang lembab.
“Kalau banyak perniagaan kecil apa akan terjadi kepada kutipan GST?” tanya Albert.
Beliau juga berpendapat sekiranya penurunan nilai Ringgit tidak dapat ditangani maka tidak mustahil BN akan memanggil pilihan raya umum ke-14 (PRU14) seawal Mac 2017.
“Apa yang rakyat tidak tahu ialah pelabur asing sudah mengeluarkan modal sebanyak RM13 bilion dari Malaysia. Oleh itu, ekonomi negara sudah goyah dan justeru itu, pemimpin BN tidak ada modal atau idea untuk meraih sokongan pengundi kecuali dengan menggunakan isu agama dan kaum.
“Ini bererti mereka akan cuba mendapatkan kerjasama Pas kerana pengundi Melayu adalah majoriti. Isu RUU 355 akan dititikberatkan dan diutamakan berbanding isu-isu lain untuk membangkitkan sentimen pengundi,” katanya yang mengharapkan pengundi Melayu akan bijak membaca mainan politik yang sedang dipamirkan BN dan Pas menjelang PRU 14.