Pilihan raya umum (PRU) ke 14 hampir pasti dilakukan pada tahun ini berdasarkan beberapa fokus pemulihan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan, kata penaganalisis politik.
“Yang sudah pasti PRU 14 ialah pada tahun ini tetapi bulan apa ia akan diadakan itu tidak dapat dipastikan lagi,” kata Albert Kwok, seorang penganalis politik dari sebuah badan bukan-kerajaan.
Beliau berkata demikian berdasarkan kepada usaha-usaha kerajaan menangani masalah kejatuhan nilai matawang Ringgit yang masih belum menemui jalan penyelesaian.
Menurut Albert, kejatuhan ekonomi sejak bulan Oktober 2016 menyebabkan banyak orang mengalami kegagalan kali pertama dalam membayar balik pinjaman bank untuk membeli rumah dan kini bank semakin sukar meluluskan pinjaman. Pasaran hartanah diramalkan akan lembab tahun 2017 dan itu mungkin menukar mood pengundi kepada pembangkang, katanya.
Bagaimanapun, menurut Albert, tanda-tanda pasti PRU 14 akan diadakan tahun ini ialah pelancaran rumah mampu-milik (PR1MA) berharga RM400,000 untuk isi rumah yang pendapatannnya RM15,000 ke bawah pada 17 Januari lalu.
“Selain daripada itu, skim pembelian komputer dengan menggunakan wang KWSP telah dihidupkan semula selepas ia diberhentikan pada Ogos 2002
“Pada Disember tahun lalu, PM juga telah meneruskan pengecualian GST kepada pembelian ‘top-up’ (isian semula kredit untuk telefon bimbit biasa dan telefon pintar). Kerajaan juga kini mengumumkan subsidi untuk bil elektrik akan diteruskan hingga ke pertengahan 2017,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Albert menegaskan semua langkah-langkah itu menunjukkan kerajaan ingin memberi ‘gula-gula’ kepada golongan rakyat marhaen yang membentuk kumpulan pengundi terbesar.
Beliau turut menekankan agar pembangkang mempunyai satu pendirian dalam pelbagai isu menuju PRU kerana kecelaruan pendapat yang diperlihatkan sekarang menyebabkan rakyat mungkin terus mengundi BN sekiranya PRU diadakan dalam 6 atau 7 bulan akan datang.
“PH dan PPBM jangan satu minit kata begini dan minit lain pula ubah pendirian. Sebagai contoh apa yang telah berlaku dengan pendirian mengenai isu BR1M.
“Kalau rakyat tengok pembangkang tidak sehala atau tidak konsisten, mungkin juga undi akan diberi kepada BN,” tambah Albert.