Bermula tengah malam ini, harga runcit bagi petrol RON95 dan RON97 naik 20 sen. Peningkatan berturut-turut sejak Disember tahun lalu menyaksikan RON95 naik kepada RM2.30 seliter manakala RON97 dijual pada RM2.60 seliter.
Berkuatkuasa 1 Februari juga, kadar baharu diesel ialah RM2.15 seliter berbanding RM2.05 pada Januari iaitu naik 10 sen seperti disahkan pihak Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).
Pada 1 Januari lalu, harga RON95 juga naik 20 sen manakala RON 97 (15 sen) dan diesel 20 sen.
Ekoran penarikan subsidi bahan api, kerajaan menetapkan harga petrol dan diesel berpandukan sistem apungan terkawal dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti harga minyak mentah dunia dan nilai mata wang negara pada bulan sebelumnya.
Harga minyak mentah Brent pula terus meningkat selepas Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) mengurangkan pengeluaran untuk membendung lebihan penawaran, sekaligus menstabilkan harga.
Sementara itu, semakan Malaysia Dateline di laman rasmi Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) setakat pukul 9 malam ini mendapati masih tiada pengumuman mengenai kadar baharu bahan api itu.
Terdahulu, KPDNKK menyiarkan kenyataan menafikan maklumat harga baharu minyak petrol yang tular di media sosial. Sehubungan itu, ramai netizen didapati meninggalkan komentar berupa kecaman terhadap pihak kerajaan yang dianggap enggan memberitahu lebih awal status harga baharu petrol dan diesel.
Pada masa sama, laman rasmi Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga masih belum memaklumkan kenaikan minyak mulai esok sebaliknya status terkini yang dimuat naik pada jam 7.30 malam itu lebih bermotif kepentingan politik Umno-BN. MD