Aura Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sepanjang hampir 25 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan menjadikan Islam dapat diterima oleh kaum Cina dan India di luar Kelantan terutama di Pantai Barat Semenanjung, kata Penasihat Umum Amanah, Ustaz Ahmad Awang.
“Tidak boleh dinafikan kemenangan Pas di beberapa negeri di Pantai Barat adalah kerana sokongan kaum Cina dan India khususnya setelah terbentuk Pakatan Rakyat di mana Pas bertahalluf (berkerjasama) dengan PKR dan DAP.
“Sikap keterbukaan bidang politik dan sikap pemaaf TGNA (Tuan Guru Nik Aziz) dengan ketinggian akhlaknya, beliau menjadi begitu rapat dengan DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang sebelumnya menjadi musuh politik kepartian Pas,” ujarnya di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau ketika membentangkan kertas kerja sempena seminar pemikiran bekas Mursyidul Am Pas itu di Auditorium Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) berkata, Nik Aziz bersikap pemaaf walaupun pernah didiskriminasi daripada pihak kerajaan pusat ketika Anwar sebagai Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.
“Terjalin ikatan yang kukuh di antara Pas dan PKR dan kemudian dengan DAP yang terbentuk melalui usaha DSAI yang kemudiannya amat menghormati TGNA,” kata Ustaz Ahmad yang pertama kali bersemuka dengan Nik Aziz ketika mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Barat pada 1974.
Beliau yang ketika itu merupakan Pengarah Dakwah Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri memberitahu Nik Aziz dalam pertemuan tersebut seorang yang berperwatakan sederhana, bersikap lemah lembut, bertutur dengan nada suara rendah serta sentiasa tersenyum.
Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad berkata, paling menonjol pemikiran politik Nik Aziz yang begitu terbuka apabila Pas Perak bersama PKR bersetuju membentuk kerajaan campuran dengan DAP yang memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum 2008.
“Pendekatan strategi TGNA untuk menumbangkan Umno-BN begitu terserlah sebaik sahaja tercetus berita DAP Pusat tidak boleh menyokong pembentukan kerajaan di Perak sekiranya jawatan MB (Menteri Besar) diberi kepada Adun Pas,” ujar beliau yang ketika itu Pesuruhjaya Pas Perak.
Mengetahui Lim Kit Siang membuat kenyataan bahawa DAP menarik balik persetujuannya, jelas Ustaz Ahmad, Nik Aziz terus menghubunginya dan meminta supaya keputusan membentuk kerajaan campuran bersama DAP diteruskan walaupun jawatan Menteri Besar bukan daripada Pas.
“Beliau (Nik Aziz) berkata antara lain, ‘Anta pasti ingat peristiwa termeterainya Perjanjian Hudaibiyyah antara Rasulullah dengan pihak musyrikin Mekkah…’.
“Begitulah kata-kata dukungan beliau kepada saya dan Pas Perak untuk membentuk kerajaan bersama DAP. Padahal, pada Subuh yang sama, saya difahamkan beliau didatangi rombongan Mufti Perak untuk mendapat restu beliau agar Pas Perak bersetuju berpakat dengan Umno-BN untuk membentuk kerajaan Melayu-Islam di mana YB (Yang Berhormat) Nizar akan kekal sebagai calon MB,” ceritanya lagi.
Terdahulu, ujarnya, keterbukaan pemikiran politik Nik Aziz terbukti dengan penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1990 apabila Pas bergabung tenaga dengan Parti Semangat Melayu 46 yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah.
“Bahkan sebelum itu TGNA sebagai Ketua Dewan Ulamak Pas terlibat dengan penubuhan pakatan kerjasama Parti SUP dan NASMA, malah juga bekerjasama bagi penubuhan Majlis Perundingan Cina (CCC),” kata Ustaz Ahmad Awang.
Untuk rekod, Nik Aziz meninggal dunia pada 12 Februari 2015 jam 9.40 malam di sisi anggota keluarga di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, Kota Baharu, Kelantan pada usia 84 tahun kerana menghidap kanser prostat. MD