Sehingga pukul 4.30 petang, pusat mengundi di kebanyakan bandar dan sub bandar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia masih sesak menerima pengundi.
Masih terdapat barisan panjang yang menunggu untuk membuang undi.
Sehubungan itu NGO Bersih 2.0 mengeluarkan kenyataan agar pengundi menunaikan hak mereka walaupun selepas pukul 5.00 petang.
Menurut Bersih, sekiranya mereka telah pun beratur maka pengundi sepatutnya dibenarkan membuang undi.
“Mereka yang sudah beratur sebelum 5 petang di pusat mengundi, pastikan anda dibenarkan mengundi walaupun selepas 5 petang.
“Jangan beredar walaupun jika SPR dakwa anda sudah lambat. Jika anda sudah ada di sana dan beratur sebelum 5 petang, SPR perlu mengizinkan anda untuk mengundi dan tidak boleh menghalau anda.
“Kekal di pusat mengundi dan bertegas dengan hak anda untuk mengundi. Bukan salah anda jika SPR menjalankan tugas dengan perlahan,” kata NGO itu dalam satu kenyataan.
Menurut Bersih 2.0, sekiranya barisan masih terlalu panjang pada pukul 5 petang, pengundi perlu mengambil gambar untuk dihantar kepada NGO itu.
“Ini mustahak jika sebarang tindakan undang-undang perlu diambil kemudian.
“Hantar gambar kepada kami di aduan.pemantau.org
“Untuk semua calon, wakil calon, PACA dan peguam – tolong kekal di pusat mengundi dan bantu pengundi yang masih beratur. Mereka perlu menggunakan hak mereka untuk mengundi,” katanya.
Bersih 2.0 mengingatkan agar mencatat nama Ketua Tempat Mengundi atau Pegawai Pengurus Pilihan Raya atau nama mana-mana pegawai SPR yang enggan memberi laluan kepada pengundi yang sudah beratur sebelum 5 petang untuk mengundi. Hantarkan laporan kes tersebut ke aduan.pemantau.org.