Pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abd Hadi Awang membuktikan tiada campur tangan politik dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, perkara itu seharusnya dipandang pada sudut positif demi pembangunan negara secara bersama.
“Kita mengalu-alukan siapa saja (nak jumpa Mahathir), termasuk wakil rakyat pembangkang.
“Pertemuan ini perlu dilihat dalam rangka mahu perjalanan pentadbiran negara yang lebih baik, bukan atas dasar dendam dan kebencian,” katanya.
Menurutnya, tiada halangan untuk mana-mana pihak bertemu dengan perdana menteri baharu dalam usaha membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Pada saya tak ada masalah, siapa pun boleh nak jumpa perdana menteri. Soal orang nak nilai dulu apa yang dia kata, biarkan itu soal politik.
“Tetapi sebagai sebuah kerajaan baru, kami tak mahu campur tangan isu politik dalam konteks apa yang dikatakan adil oleh orang ramai,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Hadi mengadakan pertemuan rasmi dengan Pengerusi Pakatan Harapan itu di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Besar Terengganu, Dr Samsuri Mokhtar dan veteran Pas, Datuk Mustafa Ali.
Ia merupakan pertemuan pertama antara pemimpin politik tersebut selepas Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan persekutuan PRU14.