Negara ini mengalami proses kelembapan industri pembuatan setelah mencapai kemuncaknya pada tahun 2000, kata pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram.
Beliau berkata industri perkilangan sangat penting dan pada kemuncaknya menyumbang 30.9 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kadar pekerjaan yang dibawa oleh sektor berkenaan menyumbang sebanyak 23.5 peratus pada tahun itu.
“Kamu dapat melihat betapa pentingnya pembuatan pada waktu itu, tetapi apa yang berlaku sejak tahun 2000? Kami mempunyai proses kelembapan industri yang berterusan.
Beliau berkata demikian kepada hadirin pada suatu majlis forum anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di Suruhanjaya Sekuriti di Bukit Kiara malam tadi.
Jomo, bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) berkata berkata terpulang kepada kerajaan memilih sama ada untuk meneruskan perindustrian atau menyahkan perindustrian.
Beliau berkata terdapat perbezaan ketara antara pentadbiran baru dan lama, paling kurang “pada peringkat perdana menteri.”
“Perdana menteri dahulu meraikan proses nyahperindustrian itu.
“Beliau berkata sekarang kita bergerak meninggalkan tahap kedua (perindustrian) dan mencapai tahap ketiga (ekonomi) iaitu perkhidmatan. Tetapi apa yang beliau tidak sebut, malangnya kebanyakan pekerjaan dan perkhidmatan diciptakan dalam bentuk (ekonomi) khidmat tradisional.
“Dan apa yang digelar perkhidmatan moden itu secara dasarnya hanyalah perkhidmatan kerajaan sahaja.
“Kerana hakikatnya, sektor kewangan juga telah mengecut sepanjang beberapa dekad ini. Jadi pertumbuhan dalam pekerjaan (sektor) perkhidmatan bukanlah suatu yang boleh dibanggakan,” katanya.
Membincangkan hal yang sama, Jomo juga memberitahu hadirin Malaysia mempunyai keadaan tenaga kerja yang “tidak begitu sesuai” untuk perindustrian.
Beliau berkata masyarakat Malaysia memiliki sikap yang salah terhadap pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) yang sering ditanggapi sebagai bidang pelajaran buat mereka yang gagal. – Mkini