Angkatan Muda Keadilan (AMK) berharap lantikan Datuk Seri Ismail Bakar sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu dapat menghapuskan budaya kerja yang dipraktikan Umno dan BN pada sebelum ini.
Timbalan Ketuanya, Dr Afif Bahardin berkata, ia merupakan satu tanggungjawab utama untuk melaksanakan reformasi kepada pentadbiran Putrajaya sesuai dengan aspirasi dan harapan Malaysia baru.
“Saya percaya perlantikan beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan dapat menjadikan pentadbiran kerajaan lebih telus dan cekap dalam usaha mereformasikan pentadbiran negara.
“Saya harap dengan lantikan ini, budaya kerja lama yang dipraktikan oleh rejim Umno dan BN dapat dihapuskan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurutnya, amat diharapkan supaya segala pengalaman beliau dapat dimanfaatkan dalam menerapkan nilai-nilai budaya kerja baru dalam pentadbiran yang cekap, bersih dan amanah.
“AMK merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan KSN, Tan Sri Dr Ali Hamsa di atas tugas cemerlang semasa proses peralihan kuasa pada 9 Mei lalu.
“Segala sumbangan dan khidmat bakti beliau lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam menjadikan pentadbiran kerajaan efisyen dan berdaya saing.
“Pada masa sama, AMK juga ingin mengucapkan tahniah kepada Ismail atas pelantikan sebagai KSB yang baharu,” katanya.