Sebuah bom buatan menggunakan telefon bimbit, bateri dan mercun bebola meletup berhampiran ibu pejabat KEADILAN, kira-kira jam 9.45 malam tadi.
Seorang staf ibu pejabat KEADILAN, S Balakumaran memaklumkan, beliau terdengar bunyi letupan dan ternampak kepulan asap keluar dari kotak fius TNB di hadapan sebuah kedai, selang empat premis dari pintu utama pejabat KEADILAN.
“Bila meletup saya nampak asap. Saya pergi ke lokasi dan nampak telefon, bateri dan mercun bola. Kemudian seorang lelaki Cina turun dari pejabat yang berdepan kotak TNB dan bantu padam dengan alat pemadam api,” kata Balakumaran kepada Keadilandaily.
Beliau kemudiannya memaklumkan kejadian tersebut di Balai Polis Tropicana yang terletak tidak jauh dari pejabat KEADILAN yang turut mendapatkan bantuan daripada pihak bomba.
Balakumaran memberitahu, beberapa kereta polis dipercayai dari balai polis Petaling Jaya tiba di tempat kejadian untuk melakukan siasatan.
Balakumaran memaklumkan, dia diberitahu oleh juruteknik TNB, bahawa mangga kotak fius TNB telah bertukar, bukan seperti mangga biasa yang digunakan.
“Orang TNB kata, mangga yang biasa itu bukan milik mereka, dah ditukar,” kata Balakumaran.
Satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian dan pihak polis telah menutup kawasan kejadian untuk siasatan.