Ugutan keselamatan ke atas ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching, 19 Januari lalu dilakukan oleh puak ekstremis yang terdesak berikutan sambutan orang Melayu Islam terhadap keterbukaan pemimpin DAP.
Demikian menurut Naib Presiden PKR, Tian Chua. Katanya, politik yang berlegar di sekitar isu perkauman sempit sudah tidak lagi mendapat tempat dan pemimpin DAP semakin popular di kalangan masyarakat Islam. Oleh itu, puak ekstremis Melayu mengatur pelbagai langkah untuk membangkitkan semula semangat perkauman demi kepentingan politik mereka.
“Politik sempit berasaskan perkauman sudah tidak lagi popular. Orang Melayu semakin memahami kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum. DAP pula telah menunjukkan keterbukaan mereka dalam mendampingi masyarakat majmuk.
“Jadi ada pihak pro-Umno yang terdesak cuba mengapi-apikan isu sensitif. Bagi saya ini satu tindakan bahaya yang tujuannya tidak lain daripada mewujudkan ketegangan. Jika ketegangan berlaku pemerintah boleh mengambil kesempatan dengan melakukan tangkapan, mengenakan ISA dan sebagainya,” selar Tian yang juga ahli parlimen Batu.
Beliau tidak menolak tindakan ugut terbaharu ini lanjutan dari sentimen yang lebih awal pada tahun 2009 lalu di mana gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dibakar bertujuan untuk mencetuskan ketidakharmonian di antara agama.
“Ugutan ini punya corak yang sama dengan taktik pembakaran gereja. Namun kita dalam Pakatan Rakyat tetap memberikan reaksi yang rasional. Kita sama sekali tidak akan terperangkap dengan isu-isu yang mengadu-domba sesama kaum atau antara agama,” tegas Tian.
Adun Titi Serong yang juga Ketua Penerangan PAS Perak Drs Idham Lim pula mempersoalkan mengapa Teo dihalang dan diugut kerana mengunjungi masjid, sedangkan ketika berkempen di PRK Hulu Selangor tahun lalu calon MIC, P. Kamalanathan tidak dihalang malah disambut oleh penyokong Umno ketika mengunjungi masjid.
“Yang jelas kehadiran Teo dipolitikkan kerana dia adalah dari Pakatan Rakyat dan DAP. Kalaulah dia dari MIC seperti yang dilakukan oleh P. Kamalanathan di Hulu Selangor ia tidak menjadi masalah,” bidasnya.
Bagi Khalil sepatutnya isu mengunjungi masjid, penjualan arak oleh orang Islam dan sebagainya telah selesai selama 50 tahun Umno memerintah. Sebagai orang Islam mereka sepatutnya telah lama menjelaskan isu-isu sensitif itu kepada rakyat.
“Sebenarnya dakwah kepada orang bukan Islam kalau sudah berlangsung sekian lama sejak Umno dan BN memerintah Malaysia lebih 50 tahun tentunya tidak timbul perkara remeh yang diperbesarkan ini
“Isu pembesar suara di masjid, Isu bekerja di kedai jual arak dan sebagainya sudah selesai lama sekiranya pemimpin Umno melakukan amanah. Namun ia buka keutamaan walaupun undang-undang yang sedia ada sudah boleh mencegah bila dikuat-kuasakan.
“Bila ada serbuan dan tangkapan yang terkena ke atas pihak-pihak yang perlu dilindungi maka wujud pula tangan-tangan ghaib (mengarahkan) supaya dilepaskan. Kita ada senarai panjang mengenai kes tersebut termasuk kontroversi semasa Almarhum Datuk Ishak Bahrom menujadi Mufti Selangor. Mereka berani mabuk dan lakukan maksiat kerana ada jaminan dilindungi oleh tangan-tangan ghaib itu,” katanya.
Sementara itu, Exco Selangor yang juga ahli parlimen Seputih Teresa Kok menyelar pihak yang melakukan ugutan terhadap Teo Nie Ching dan menganggapnya sebagai perbuatan yang tidak bertamadun.
“Penjenayah di sebalik perkara ini adalah mereka yang kurang maruah kemanusiaan. Mereka juga menolak untuk membincangkan pelbagai isu secara tenang dan bersikap rasional,” katanya dalam satu kenyataan media.
Ahli parlimen DAP sejak 2008 lapan telah beberapa kali menerima ugutan dan ancaman. Ogos 2010 ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menerima sebutir peluru M16 di pejabatnya. September 2009 Teresa Kok menerima ugutan bunuh di laman sesawang, September 2008 molotov cocktail dan nota ugutan dibaling ke rumah keluarga Teresa Kok. Terbaharu adalah Teo Nie Ching yang menerima ugutan ke atas keselamatannya apabila seekor ayam digantung di luar pejabat pusat khidmat DAP di Sungai Chua, Kajang bersama poster yang tertera: ‘Ingat!!! Ini satu Peringatan,Teo Nie Ching, Tentera Jihad’