Oleh Selena Tay
Nilai Ringgit sedang jatuh merudum. Kini ia berada pada paras RM4.30 untuk AS$1 (dolar Amerika Syarikat) dan RM3 untuk SGD$1 (dolar Singapura).
Seorang pengurup mata wang asing (yang ingin namanya dirahsiakan) yang mempunyai premis perniagaan di kawasan persekitaran Pasar Seni di KL memberitahu wartawan Suara Pakatan Daily bahawa ramai warga Malaysia yang terdiri dari ahli perniagaan dan golongan profesional membeli banyak mata wang Amerika Syarikat dan Singapura sejak bulan Jun lalu.
“Pembeli berpendapat mata wang Ringgit sudah tidak mempunyai prestasi yang baik dan akan terus jatuh.
“Justeru, mereka membeli mata wang asing supaya boleh mendapat keuntungan yang lumayan apabila nilai mata wang asing itu melambung naik nanti,” ujarnya.
Beliau juga berkata, bahawa jenayah seperti penculikkan dan pemerdangangan manusia yang berlaku adalah penyumbang utama kepada kejatuhan nilai mata wang Ringgit kerana persepsi pelabur asing yang tidak baik ke atas Malaysia.
“Situasi politik negara juga nampaknya tidak mempunyai hala taju. Ini memainkan peranan dalam menentukan suasana ekonomi,” tambah beliau lagi.