Sebulan lalu warga Pahang menyambut baik pengumuman Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkenaan perisytiharan harta anggota Kerajaan Barisan Nasional Negeri Pahang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Namun menjadi teka teki apabila perisytiharan tersebut tidak berlaku sehingga kini. ADUN Semambu Lee Chean Chung berkata, apakah pengumuman yang dibuat oleh MB Pahang itu satu helah semata-mata kerana tiada apa-apa yang berlaku sehingga kini
“Saya mendapati tidak kelihatan sebarang tindakan susulan berikutan pengumuman YAB Menteri Besar Pahang sebulan yang lalu sedangkan Datuk Seri Adnan Yaakob berjanji bahawa pengisytiharan harta hanya akan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minggu
“Persoalan yang ditimbulkan, adakah Kerajaan Pahang akan mengotakan janjinya dan mengisytiharkan harta Menteri Besar, Barisan 10 Exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri[2]?
“Saya menggesa Kerajaan Pahang supaya menunaikan janji mereka dan mengisytiharkan harta pimpinan Kerajaan Negeri dengan kadar segera. Pengambilan masa yang terlalu panjang bagi menyediakan dokumen harta hanya akan menimbulkan kemusykilan orang ramai sama ada timbulnya sebarang kesulitan atau terdapat pengubahsuaian yang perlu dibuat dalam akaun mereka,” katanya dalam satu kenyataan..
Selain itu, kata Lee lagi, pengisytiharan harta juga tidak harus dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sahaja, tetapi harus dilaporkan di dalam media massa kerana semua warga Pahang berhak untuk mengetahui harta-harta yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin kerajaan. Ini merupakan cara yang terbaik bagi membuktikan integriti seseorang pemimpin.
“Akhir sekali, saya berharap agar semua Ahli Kabinet Kerajaan Barisan Nasional, termasuklah Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak yang berasal dari Pahang dapat meneladani tindakan Kerajaan Pahang dan umumkan hartanya dengan segera, bagi menjelaskan isu RM2.6 billion kutipan derma yang diterimanya,” katanya lagi.