Demonstrasi ‘Selamatkan Selangor’ yang dirancang oleh gerakan Baju Merah gagal mendapat sambutan. Kira-kira 200 orang sahaja hadir di perkarangan ibu pejabat Umno Ampang.
Himpunan yang dirancang Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Mohd Yunos itu dianggap gagal dan tidak mencapai matlamat.
Barangkali orang Melayu jelak ditipu Umno yang menaikkan tol sehinga 80% pada 15 Oktober lalu.Mereka enggan terjerit-jerit memaki Cina sedangkan kerajaan Melayu PM Najib Razak sendiri menaikkan harga barangan dan caj sehingga majoriti orang Melayu yang ‘makan gaji’ dan hidup kais pagi makan pagi menderita.
Namun Jamal, yang enggan mengakui perhimpunan itu gagal, menurut laporan malaysiakini berkata, beliau mendapat mesej sekurang-kurangnya 15 orang berada di kawasan himpunan.
Hadirin, kebanyakannya remaja, juga enggan mengambil risiko menghabiskan malam dalam lokap, memberikan maklum balas suam apabila Jamal cuba untuk meransang mereka berarak ke pusat membeli-belah Spectrum di Ampang, lokasi asal permulaan himpunan yang telah dibatalkan kerana pihak berkuasa melarang perhimpunan itu diadakan di tempat berkenaan.
Bercakap kepada pemberita, Jamal secara sarkastik menjawab hanya 15 peserta hadir dalam perhimpunan tersebut.
“Hari ini hanya 15 orang yang datang, saya tahu kamu akan kata hanya 10 yang datang. Dan ia akan jadi 5,000 jika ia akan diadakan di Spectrum.”
Menurutnya lagi, sebelum itu polis telah mengeluarkan permit tetapi bagaimanapun dua hari lalu polis tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan.
Perhimpunan itu berlangsung pada 3.30 petang dan berakhir sejam kemudian selepas enam pemimpin Umno dan NGO termasuk Ketua Umno Ampang Datuk Ismail Kijo dan Exco Pemuda Umno Armand Abu Hanifah berucap.