Misi delegasi Parti Amanah Negara (Amanah) ke Timur Tengah disifatkan berjaya kerana berhasil bertemu dengan beberapa tokoh gerakan Islam terkemuka dunia
Menurut Timbalan Presiden Amanah Salahudin Ayub, misi ke Qatar dan Turki dari 13 hingga 18 Oktober lalu itu telah memperkenalkan Amanah sebagai sebuah parti Islam baharu di Malaysia.
“Semasa di Doha, Qatar pada 13 Oktober, kami telah mengadakan pertemuan dengan Prof Dr Ali Al-Qaradaghi selaku Setiausaha Agung Kesatuan Ulamak Islam Sedunia. Pertemuan hampir dua jam itu antaranya adalah untuk memaklumkan mengapa AMANAH perlu wujud di persada politik tanah air.
“Perbincangan kami berlangsung dalam suasana amat mesra dengan saling bertukar pandangan dan memperjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan mengenai AMANAH.
“Kami juga telah bertemu dengan Sheikh Dr Ibrahim Munir, Setiausaha Agung Ikhwanul Muslimin semasa di Istanbul, pada 16 Oktober. Di akhir pertemuan itu, beliau telah mencadangkan agar digerakkan usaha mencapai persefahaman dalam bidang siasah di kalangan parti politik termasuk PAS, agar politik Islam dapat diperkukuhkan di Malaysia khususnya dan dunia amnya,” kata Salahuddin.
Menurut beliau lagi, misi tersebut mendapat rahmat besar apabila pemimpin Amanah, Datuk Mujahid Yusof Rawa bertemu dengan sosok ulama nombor satu dunia, Dr Yusuf Al Qaradawi di Doha, Qatar.
“YB Dato’ Dr Mujahid Yusuf ketika dalam perjalanan pulang dari Istanbul telah bertemu sendiri dengan Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi di Doha, Qatar pada 17 Oktober dengan membawa mesej yang sama.
“Dalam pertemuan itu tidak disebut langsung tentang haramnya wujud sebuah parti Islam lain selain daripada PAS. Bahkan kami berbincang perkara prinsip tentang kejelasan fikrah Islam, kerana bimbang terjerumus kepada pemikiran awal ISIS atau seumpamanya. Lalu Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi menyokong usaha untuk membetuli salah faham ini di kalangan pengamal politik Islam.
“Saya mewakili AMANAH menegaskan bahawa kami bersedia dan sentiasa terbuka untuk bertemu, dan komited untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi kepentingan perjuangan Islam dan ummah seluruhnya,” sambung Salahuddin.
Selain Salahuddin dan Dr Mujahid, delegasi Amanah turut disertai Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin selaku Timbalan Penasihat Umum AMANAH yang juga Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) dan Bendahari Hj Asmuni Awi.