Peruntukan Bajet 2016 bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah 7.6% daripada jumlah perbelanjaan, yang tertinggi dicatatkan bagi jabatan tersebut dan memberi petunjuk Datuk Seri Najib Razak sedang cuba untuk mengukuhkan kedudukannya melawan pembangkang, kata Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong.
Beliau berkata, walaupun terdapat potongan besar terhadap pendidikan, kebajikan dan perbelanjaan sosial, JPM akan mengambil sebahagian besar daripada dana negara, daripada RM19 bilion tahun ini kepada RM20.3 bilion pada tahun 2016, kata Liew.
Beliau berkata sebelum pilihan raya umum 2008, JPM hanya mengambil sekitar 3% hingga 4% daripada sumber negara.
Pilihan raya umum 2008 menyaksikan Barisan Nasional (BN) buat kali pertamanya, kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Tetapi pada tahun 2009 selepas Najib menjadi perdana menteri, JPM mula menerima peruntukan hampir 7% daripada bajet persekutuan tahunan, satu angka yang terus meningkat sehingga kini, dengan sedikit penurunan selama dua tahun pada 2012 dan 2013.
“Sedekad yang lalu pada 2006, JPM hanya mewakili 2.67% daripada jumlah perbelanjaan bajet negara. Pada 2007 dan 2008 pula, masing-masing 3.81% dan 3.4%,” kata Liew dalam satu kenyataan hari ini.
“JPM menerima 6.71%, 6.37% dan 6.74% pada 2009, 2010, 2011. Untuk tahun berikutnya, 5.38% (2012), 5.24% (2013), 6.23% (2014) dan 6.96% (2015).
“Pada 2016 ini, buat pertama kalinya bajet untuk JPM mencecah lebih dari 7%. Sesungguhnya ia tidak lain dan tidak bukan, ‘bajet Najib, oleh Najib dan untuk Najib’,” katanya.
Liew juga mendakwa, selepas ‘tsunami’ pilihan raya pada Mac 2008 dan timbulnya ancaman ‘lompat parti’ oleh ahli Parlimen BN, lebih banyak sumber diperuntukkan kepada JPM supaya Najib boleh menyatukan pangkalannya dalam Umno, sekali gus melawan kemaraan pembangkang.
Bajet 2016 dibentangkan Najib pada Jumaat, dengan jumlah perbelanjaan RM267 bilion, penurunan sebanyak RM7 bilion daripada 2015.
Liew menjangkakan pengurangan itu disebabkan kejatuhan harga komoditi, yang memberi kesan kepada Malaysia sebagai pengeksport minyak.