Dia memiliki susuk tubuh kekar atau ‘sado’ mengikut panggilan zaman sekarang. Pemegang ijazah lanjutan dari sebuah universiti terkenal di tanah air ini memang cergas dan kerap bersenam. Dia juga suami dan ayah kepada dua putera comel sejak tiga tahun lalu.
Namun, ada satu rahsia hanya mereka yang rapat dengannya sahaja tahu, profesional muda ini antara 3,393 kes mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV) seperti dilaporkan pada 2013.
Tabah menerima ujian Yang Maha Esa, Zainal (bukan nama sebenar), 32, kini berdisiplin dengan setiap hari memakan ubat antiretroviral aktif tinggi (HAART) mengikut kuantiti dan jadual ditetapkan supaya bilangan virus tersebut sentiasa berada di paras minimum.
Tenang bercerita ketika ditemui Malaysia Dateline, 28 November lalu, beliau yang berperwatakan menarik itu sempat menjelaskan sepintas lalu mengenai perbezaan antara penghidap positif HIV iaitu singkatan bagi Human Immunodeficiency Virus dengan pesakit Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS).
“Banyak orang salah faham tentang HIV dan Aids ini. Dulu mungkin sekitar awal tahun 1990-an, orang yang ada HIV tiba satu peringkat jadi pesakit Aids. Zaman sekarang tidak lagi. Sudah ada ubat yang menghalang pembawa positif HIV itu daripada mengalami penyakit Aids.
“Individu yang ada HIV kini tidaklah menderita sakit secara fizikal asalkan dia cepat membuat diagnosis ujian HIV. Jika berdisplin mengambil rawatan HAART seumur hidupnya, PLHIV itu lebih cergas daripada pesakit lain seperti kanser atau sakit jantung.
Pil untuk pesakitPil untuk pesakit“Bacaan sel CD4 (sel darah putih atau limfosit) saya misalnya lebih baik daripada individu normal atau bukan penghidap HIV. Saya berpantang, menjaga paras gula dan kolesterol.
“Saya sendiri lebih ‘fit’ kalau mahu dibandingkan dengan penghidap diabetes atau mereka yang mengalami masalah obesiti yang jelas kos rawatannya jauh lebih tinggi.
“Dalam konteks produktiviti seorang pekerja di tempat kerja, bahaya di sini adalah AIDS tetapi virus HIV tidak berbahaya atau mempengaruhi prestasi kerja individu,” ujarnya.
Mengakui virus HIV setakat ini masih belum dapat dihapuskan, beliau menyeru semua pihak lebih-lebih lagi dalam kalangan pegawai perubatan termasuk di hospital swasta supaya lebih peka dan mempunyai budi bicara dalam menjaga kerahsiaan penghidap HIV positif dan turut membantu menjelaskan stigma PLHIV kepada majikan di seluruh negara.
Doktor hospital swasta lurus bendul?
Terkilan dengan sikap lurus bendul seorang doktor dari hospital pakar swasta di Ampang, Selangor, beliau tidak faham bagaimana kod etika berkaitan hak pesakit selamba dilanggar apabila memberitahu status HIV positif kepada majikannya dalam keputusan pemeriksaan kesihatan tahunan yang dijalankan.
“Syarikat hanya mahu tahu ringkasan tentang status kesihatan pekerjanya yang ada kaitan dalam mempengaruhi produktiviti kerja. Perincian yang lain-lain itu, syarikat tidak peduli pun. Syarikat hanya mahu tahu pekerjanya ‘fit’ atau tidak untuk terus bekerja.
“Dalam borang itu memang ada tentang ujian antibodi-HIV. Syarikat saya tahun lepas sudah tahu saya penghidap HIV positif. Jadi, apa perlunya doktor itu membuat pemeriksaan HIV-antibodi setiap tahun (berdasarkan borang syarikat) sedangkan syarikat saya telah dimaklumkan keadaan saya tahun lepas.
“Sesiapa yang sudah mempunyai antibodi HIV akan kekal mempunyai antibodi HIV di dalam badannya sampai kiamat walaupun aras CD4 mencecah bacaan 4,000 sekalipun dan dia sudah tidak dijumpai HIV ‘viral load’ di dalam badannya,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Zainal berpendapat seorang pengamal perubatan perlu menggunakan kebijaksanaan yang sewajarnya memandangkan mereka patut lebih mahir berbanding pekerja lain dalam menjaga kerahsiaan pesakit.
“Mereka patut lebih arif tentang hal ini sebab mereka ada kursus, diberi penekanan dan ada kod etika perlu dipatuhi. Gunakanlah pertimbangan untuk memastikan informasi pesakit tidak keluar daripada bilik rawatan mereka.
“Maklumat kesihatan pesakit sepatutnya mesti dalam lingkungan dinding-dinding klinik mereka sebab pihak lain termasuk syarikat sekalipun hanya mahu mengetahui pekerjanya berupaya untuk bekerja atau tidak. Itu saja,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai bentuk diskriminasi secara tidak langsung yang berlaku ke atas penghidap HIV positif, beliau bimbang sikap sesetengah doktor dari hospital swasta yang diibaratkan seperti robot itu mungkin turut menimpa orang lain.
“Hospital swasta mungkin tidak ada mengikuti kursus tertentu secara berkala dalam mengendalikan sensitiviti pesakit HIV positif berbanding hospital kerajaan yang difahamkan kerap menghantar doktor mereka mengikuti kursus berkaitan sehingga lebih tahu tentang perkembangan terkini, apa yang patut dan tidak patut dibuat dalam profesionalisme mereka,” tambahnya.
Pujian kepada doktor di hospital kerajaan
Menganggap doktor di hospital swasta lebih kepada mengejar nilai keuntungan di atas penderitaan orang lain, Zainal memuji hospital kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan mengamalkan profesionalisme tinggi termasuk menghormati hak pesakit.
“Mereka (doktor di hospital swasta) bukan ada sangat pun tanggungjawab untuk benar-benar merawat pesakit. Mereka hanya mahukan keuntungan. Tidak fikir sangat sensitiviti pesakit apa lagi hak golongan seperti kami ini.
“Sebaliknya, hospital kerajaan memang lagi bagus dalam hal ini berbanding hospital swasta sebab mereka berdepan dengan pelbagai kes. Di hospital swasta, kalau komplikasi penyakit sudah di tahap kritikal, mereka tak mahu dah ambil kes itu.
“Itu sebab dalam kes saya, tindakan doktor di hospital panel syarikat saya dipersoal. Apa perlunya ‘attach’ sekali keputusan ujian antibodi- HIV saya setiap tahun, sedangkan syarikat telah dimaklumkan keputusan itu sebelum ini,” ujar Zainal lagi mengakhiri perkongsian kisahnya selama 40 minit itu.