DAP yang kini berdepan dengan peningkatan kemarahan kaum Melayu bakal memperkenalkan calon Melayu mereka untuk pilihan raya akan datang di antaranya Young Syefura Othman, Dr Abdul Aziz Bari, Edry Faizal Eddy Yusof, Sheikh Omar Ali dan Abdul Aziz Isa.
The Malaysian Insider difahamkan, Aziz mungkin paling awal diumumkan DAP sebagai calon kerana akan bertanding di salah sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangkakan pada Mac akan datang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan selewat-lewatnya 2018, parti pembangkang majoriti Cina itu bakal menamakan bekas aktivis PAS Sheikh Omar sebagai calon di Johor.Beliau kini memegang jawatan sebagai penolong setiausaha publisiti DAP Johor.
Aziz, pensyarah undang-undang Universiti Industri Selangor (Unisel) dijangka dinamakan DAP sebagai calon DUN di kawasan Ampang, Selangor.
Beliau dijangka akan diumumkan sebagai salah seorang ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tidak lama lagi.
DAP tahun lalu mengumumkan bakal bertanding di 8 daripada 15 kerusi PAS di Selangor pada PRU14. DAP memilih 8 kerusi ini kerana ia merupakan kawasan campuran.
Kerusi DUN Taman Templer dan Dusun Tua pada ketika ini disandang calon PAS Zaidy Talib, yang juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) Selangor dan Razaly Hassan. Kedua-dua mereka merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) penggal pertama.
Young Syefura yang lebih dikenali sebagai Rara dilantik sebagai penyelaras DAP untuk DUN Dusun Tua, di bawah Parlimen Hulu Langat pada 3 Disember lalu sementara Edry dilantik sebagai penyelaras bagi DUN Taman Templer di bawah Parlimen Selayang.
Sebagai penyelaras, kedua-dua mereka merupakan wakil rasmi DAP untuk kawasan berkenaan. Secara tradisinya, DAP meletakkan penyelaras sebagai calon pilihan raya jika mereka berkhidmat dengan baik.
Rancangan ini didedahkan selepas DAP menjadi sasaran kemarahan Melayu-Islam menurut Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendapati dua pertiga responden dalam tinjauan mereka merasakan parti itu anti Islam, anti Melayu dan hanya menjaga kepentingan Cina.
Kajian itu dilakukan pada November terhadap 1,716 responden Melayu di Selangor dan peningkatan sentimen anti DAP sebahagian besarnya disebabkan serangan Umno dan PAS.
Sesetengah yang dikenal pasti sebagai bakal calon bagaimanapun tidak mahu mengesahkan lagi pemilihan mereka.
Rara yang terlatih sebagai jururawat menolak untuk dinamakan sebagai bakal calon kerana sehingga kini persoalan kerusi belum lagi diputuskan pimpinan Pakatan Harapan.
“Kami bukan calon tetapi dilantik DAP untuk memberikan khidmat di kawasan ini,” kata Rara yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) DAP Selangor.
Ketika ditemui, Rara menunjukkan dalam begnya penuh dengan kalender tahun baru yang memperlihatkan wajahnya bersama pemimpin DAP lain untuk kawasan Parlimen Hulu Langat.
“Saya akan ke pasar malam di Dusun Tua malam ini untuk mengedarkan kalendar dan risalah ini. Inilah kerja kami sekarang,” kata Rara yang sebelum ini menghabiskan kira-kira 6 bulan membantu penduduk Kampung Pasir Tumbuh, Gua Musang yang teruk dilanda banjir pada 2014.
Apabila DAP melancarkan Impian Kelantan untuk membantu mangsa banjir besar di sana awal 2015 lalu, Rara dilantik sebagai penyelaras Impian Kelantan.
Setiap minggu Rara akan membawa sukarelawan dari Kuala Lumpur turun ke pedalaman Gua Musang itu untuk membuat kerja-kerja membantu mangsa banjir.
“Kami baiki dan cat rumah, buat rumah baharu, baiki jalan, sekolah dan sebagainya di Pasir Tumbuh,” kata Rara yang merupakan anak gadis daripada keluarga PAS yang mula berjinak dengan politik melalui aktiviti ayah dan ibunya.
Rara mula berjinak dengan politik ketika perhimpunan Bersih 3 apabila beliau bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyertai perhimpunan itu. Menurut Rara, melalui SAMM beliau dilatih bercakap dan bergaul dengan pelbagai pihak.
“Pengalaman inilah yang akan saya bawa ke Dusun Tua,” kata Rara yang kini menghabiskan banyak masanya di kawasan itu.
“Kami yakin sokongan pengundi Cina untuk DAP dan ia boleh ditambah sedikit sebanyak daripada pengundi Melayu,” kata Rara yang bercita-cita mengubah Dusun Tua kepada kawasan agro pelancongan untuk kepentingan penduduk di sana.
Sementara Edry menjelaskan tumpuannya kini adalah melakukan kerja di peringkat akar umbi dahulu bagi memastikan kerusi itu yang kini dikuasai PAS, tidak jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN).
“Saya selalu beritahu orang tugas saya adalah menyelaras. Tiada pengesahan itu adalah kerusi saya dan saya pun tahu realiti politiknya kadang-kadang orang ini esok penamaan calon, hari ini belum tahu kerusinya lagi.
“Bagi saya sampai ke hujung, selagi tak diumum kita tak akan tahu siapa punya kerusi,” kata Edry kepada The Malaysian Insider apabila ditemui di pusat khidmatnya di Taman Selayang Jaya.
Edry kini banyak menerima permohonan penduduk sekitar untuk perkara seperti pendaftaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta pendaftaran skim bantuan kerajaan Selangor.
Edry juga yakin, DAP akan terus menjadi mitos jahat bagi Umno dan PAS di kalangan orang Melayu jika mereka tidak berusaha mendekati kaum majoriti itu.
“Jadi sebab tiadanya interaksi lebih terus lebih rapat menyebabkan benda begini lebih mudah tersebar. Maknanya apabila kita tak pernah jumpa orang itu, benda yang kita tak pernah kenal adalah benda kita paling takut.
“Inilah perkara yang musuh DAP guna sebaik-baiknya,” kata pemuda berusia 30 tahun yang fasih berbahasa Mandarin dan memahami dialek Kantonis itu.
Seorang lagi ahli baharu DAP, Zulhazmi Sharif, 40 tahun, pula berkata beliau bersedia menjadi calon DAP jika diberikan kepercayaan.
“Saya terbuka, kalau ada, kalau DAP percaya pada saya, saya kena buatlah. Saya kena buktikan saya mampu saya layak dengan kena berusaha untuk menang.
“Bukan bila dapat itu, hanya mengharapkan bantuan DAP dalam semua perkara. Saya kena buktikan diri saya,” kata peguam yang terkenal dengan projek Kempen Anti Saman Ekor (KASE) anjuran bekas ketua penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.