PKR menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah dengan menyatakan tiada keperluan untuk menukar kepimpinan sedia ada, kata Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Wan Azizah berkata, parti itu menghormati proses perlembagaan dalam menentukan calon menteri besar yang mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan undangan negeri.
Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan untuk mengeluarkan penyandang jawatan menteri besar bagi mana-mana negeri mestilah mempunyai alasan munasabah.
“Dalam kes negeri kedah tidak ada sebarang alasan munasabah yang dikemukakan untuk menyingkirkan Datuk Mukhriz selaku menteri besar selain daripada politik persaingan dalaman Umno.
“Atas alasan tersebut, pada pandangan kami, kami akan terus menyokong pentadbiran sedia ada,” katanya pada kenyataan media.
Kemelut politik melanda Kedah semakin panas dengan usaha menyingkirkan Mukhriz sebagai menteri besar oleh sebahagian besar pemimpin dan ADUN Umno diketuai timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.
Mereka secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri.
Semalam, 20 ADUN BN telahpun menghadap Anggota Jemaah Pemangku Sultan berkaitan kedudukan Mukhriz. Manakala hari ini giliran 15 ADUN pembangkang dipanggil bagi tujuan sama.