Timbalan Presiden Umno yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau tidak pernah menerima surat tunjuk sebab daripada parti itu terhadap sebarang salah laku.
Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin berkata beliau juga tidak pernah dimaklumkan oleh lembaga disiplin mengenai apa-apa pertuduhan melanggar disiplin parti.
“Sepatutnya saya diberikan surat tunjuk sebab yang memperincikan asas-asas tuduhan terhadap saya. Saya juga mesti diberikan suatu tempoh untuk menjawab segala tuduhan tersebut dan menyatakan sebab-sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap saya.
“Namun, berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung Umno, semua langkah ini telah tidak diambil oleh Lembaga Disiplin,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respons kenyataan Tengku Adnan Tengku Mansor semalam bahawa satu laporan oleh Lembaga Disiplin Umno mengenai kedudukan beliau dalam parti itu telah disiapkan dan akan diserahkan kepada Majlis Tertinggi Umno.
Muhyiddin berkata, kenyataan Tengku Adnan menggambarkan proses tuduhan pelanggaran disiplin terhadapnya dibuat tanpa mengikut tatacara dan prosedur yang betul.
“(Ia) sekaligus bercanggah dengan peruntukan Fasal 20.1 Perlembagaan Umno,” katanya.