Presiden MCA Chua Soi Lek rupa-rupanya masih sangat jahil tentang agama Islam apabila dua kali mempersendakan calon PAS di DUN Tenang, Normala Sudirman dalam isu bersalam dengan lelaki bukan muhram.
Selesai sahaja proses penamaan calon, Chua yang berada di kubu kuatnya di Labis ingin menunjukkan taring kepada masyarakat Cina. Beliau mengkritik Normala kerana enggan bersalam dengan calon BN pada hari penamaan calon. Sikap Normala kononnya kolot dan tidak layak mendampingi masyarakat berbilang kaum di Tenang.
Tidak bersalam dengan lelaki dianggap akan menyukarkan seorang wakil rakyat untuk bergaul dengan lelaki yang bukan Islam. Bagaimanapun hujah Chua tidak menarik perhatian masyarakat Cina di kawasan bandar dan pekan yang pada pilihanraya umum lalu banyak mengundi pembangkang. Mereka sedar kualiti kepimpinan tidak terletak kepada kesanggupan pemimpin wanita untuk memegang tangan pengundi lelaki mahu pun tidak.
MCA persenda Islam
Lihatlah betapa jahilnya MCA berkempen. Budaya bersalam sesama bukan muhram tidak difahami apakah hukumnya halal atau haram dalam Islam. Tidak mengapa jika mereka tidak mengetahui hukumnya secara jelas namun perkara yang tidak boleh dimaafkan ialah tindakan Chua mempersendakan ajaran Islam. Kenyataannya lebih kepada mendakwa umat Islam itu ketinggalan zaman kerana tidak mahu bersalam dengan lelaki bukan muhram.
Inilah hasil persekongkolan MCA sebagai komponen BN sejak 50 tahun lalu. Mereka berkawan dengan orang Islam Umno. Setiap tahun merayakan Hari Raya Aidilfitri bersama orang Islam di rumah terbuka pemimpin Umno. Mereka juga tahu mengenai upacara agama ahli Umno serba sedikit. Namun selama 50 tahun itu mereka tidak pernah mahu menambahkan kefahaman terhadap Islam. Sedangkan perkara yang dibolehkan dan tidak dibolehkan dalam kehidupan seharian umat Islam bukanlah hal yang sukar untuk diketahui.
Tanya sahaja orang Islam pasti tahu hukum bersalam dengan bukan muhram. Tidak perlu rujuk kepada Khir Baharom atau Mashitah Ibrahim, cukup bertanya dengan ahli biasa Umno dan mereka mampu memberikan jawapan yang boleh difahami. Namun bagaimanakah orang MCA ingin bertanya mengenai hukum bersalam jika pada setiap kali mereka bertemu dengan Wanita Umno, semuanya bersalaman mesra dengan lelaki Cina yang bukan muhram. Malah ada yang terlajak hingga memegang bahu.
Tentulah ahli MCA menganggap bersalam tidak menjadi masalah dalam agama Islam kerana Wanita Umno hampir mustahil tidak menyambut tangan yang mereka hulurkan. Begitu juga hukum judi dan sebagainya. Umno meluluskan lesen judi maka Cina MCA akan memahami judi boleh dimaafkan di sisi Islam. Atas sebab itu mereka amat takut apabila PAS ingin memperkenalkan Hudud di Kelantan dan Terengganu. Mereka fikir PAS mencipta ajaran Islam yang lain daripada asal. Sedangkan Umnolah yang tidak memberitahu mereka ajaran Islam sebenar.
Umno tak berdakwah
Perkara inilah yang sering diperingatkan oleh Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat kepada ahli PAS setiap kali Umno ingin mengusahakan kerajaan perpaduan. Wujud perbezaan nyata antara PAS dan Umno. PAS mendakwah Islam melalui politik sedangkan Umno mempergunakan Islam untuk mencapai matlamat politik.
Masakan MCA bergaul selama 50 tahun dengan Umno tetapi tidak memahami hukum asas dalam Islam. Tentunya Umno tidak pernah berdakwah kepada parti Cina itu. Hal ini berbeza dengan apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. PAS bersama DAP baru dua tahun. Dan beberapa tahun ketika dalam Barisan Alternatif (BA).
Pada 1999 pemimpin utama DAP ketika itu, Karpal Singh sanggup mengucapkan langkah mayatnya dahulu sebelum PAS memperkenalkan undang-undang Islam di Malaysia. Pemimpin lain DAP juga meminta PAS tidak mencampur-adukkan hukum-hukum dari buku agama dengan praktik pemerintahan. Akhirnya, pada 2001 DAP bertindak keluar dari BA sebelum berlangsungnya pilihanraya negeri Sarawak. Namun biarpun DAP keluar mereka hanya mampu memenangi dua kerusi DUN sahaja.
Pada 2007, DAP kembali berkerjasama dengan PAS walaupun tidak menyertai semula BA. PAS setiap kali bekerjasama tidak putus-putus menyelitkan unsur-unsur dakwah. Selepas 10 tahun, DAP tidak lagi curiga terhadap Islam kerana melihat selama dua dekad Kelantan diperintah PAS secara Islam, tidak ada seorang pun masyarakat Cina yang teraniaya.
Kerjasama pada 2008 mencatat kemenangan besar. Seminggu selepas menang PRU 12 Pakatan Rakyat dibentuk. Namun PR kali ini tidak lagi terikat dengan isu Negara Islam atau sekular. DAP telah menerima prinsip perjuangan PAS dan mereka bergabung atas dasar menentang kezaliman BN.
Namun PAS tidak berhenti sehingga itu. Wakil rakyat yang ramai dan gerak kerja bersama ahli DAP di peringkat kawasan digiatkan dengan proses penerangan tentang berapa bertoleransinya agama Islam terhadap bukan Islam. Sejarah tercipta apabila pemimpin PAS dengan kerusi paling sedikit di DUN Perak dilantik menjadi Menteri Besar. Dan Menteri Besarnya pula boleh berbahasa kantonis dan mandarin dengan baik. Menteri Besar PAS sangat adil, memberi tanah kepada orang Melayu tetapi juga memberi tanah kepada orang Cina. Memberi bantuan kepada Melayu dan memberi juga bantuan kepada India. Keindahan Islam amat terserlah. Sesuatu yang tidak pernah ditunjukkan oleh BN ketika memerintah Perak selama 50 tahun.
Setahun setelah PAS berkuasa di Perak ada ahli politik Cina DAP yang tertarik dengan keadilan Islam memetik ayat al Quran dalam ceramah politik mereka. Malangnya, ia dianggap dosa besar oleh Umno. Betapa bodohnya pemikiran pemimpin Umno. Tidak pernahkah mereka melihat di negara Arab orang Kristian dan Yahudi juga memetik ayat Quran dalam berhujah? Mungkin kerana bahasa Arab memang bahasa mereka maka pemimpin Umno tidak pelik mendengarnya.
Dakwah PAS berjaya
Inilah yang dikatakan oleh Nik Aziz betapa berjayanya dakwah PAS. Menurut Tok Guru, ada pemimpin Cina DAP yang menelefonnya pada tengah malam bertanya tentang ayat-ayat al Quran. Bagi Nik Aziz sama ada bukan Islam memeluk Islam atau tidak, itu urusan Allah memberi hidayah. Namun yang pasti bukan Islam yang telah jinak dengan Quran tidak akan menzalimi orang Islam dan boleh dijadikan rakan. Dan semua itu telah berjaya dilakukan PAS dalam beberapa tahun bersama DAP. Seperti kata Nik Aziz memang Tuhan telah takdirkan PAS bersekongkol dengan DAP untuk menyebar-luaskan dakwah Islam .
Namun apa jadi dengan Umno, selama 50 tahun bersama sekutu bukan Islam, hukum asas Islam pun rakan mereka tidak faham. Ada dua perkara yang boleh diandaikan terjadi kepada Umno dalam hal ini; pertama Allah tidak mengizinkan mereka menjadi pendakwah biar pun mereka banyak mendirikan masjid serta surau dan kedua, sama ada Islam atau bukan Islam dalam BN memang telah buta hati serta tidak diturunkan hidayah oleh Allah.
Jadi bagaimanakah gabungan BN yang buta hati ini ingin meneruskan pemerintahan Malaysia? Tentunya rakyat akan mamai dan tidak tahu hala tuju dipimpin mereka. Atau rakyat akan dirompak dan pemimpin menjadi kaya-raya.
Bagi pengundi di Tenang tolaklah budaya kejahilan yang dibawa BN. Lebih lama BN memerintah lebih sasau rakyat dipermainkan mereka.