Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan keputusan bagi pilihan raya kecil (PRK) Parimen Kuala Kangsar sebagai membanggakan walaupun berada di kedudukan ketiga di belakang BN dan Pas.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, selepas bekerja kuat memperkenalkan Amanah yang belum mencecah usia setahun, parti itu mampu memperoleh 4,883 undi.
“Terima kasih kepada pengundi yang saya faham amat sukar untuk mengenali parti Amanah yang tak sampai umur setahun, baru lapan bulan, lambang pun baru, ramai rakan dalam Pakatan Harapan terpaksa bekerja keras untuk memperkanalkan Amanah.
“Atas beberapa halangan itu kita berupaya mendapat undi dan undi 4,883 itulah undi Pakatan Harapan setelah tidak ada lagi Pakatan Rakyat.
“Berdasarkan prestasi ini Amanah berasa kita telah mencapai keputusan yang amat membanggakan kami. Dalam keadaan yang begitu sukar kita telah berjaya untuk mendapatkan undi yang sebenarnya undi Pakatan Harapan,” kata beliau dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar malam ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid sebagai pemenang bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Mastura meraih 12,653 undi manakala calon Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad (5,684 undi), calon Amanah, Ahmad Termizi Ramli (4,883 undi) manakala calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (54 undi).
Menurut Salahuddin, pencapaian Amanah itu merupakan kayu ukur untuk Pakatan Harapan menyertai pilihan raya umum akan datang sebagai satu gabungan yang kuat.
“Ini isyarat jelas yang kita berikan sebagai menghadapi PRU yang akan datang.
“Secara keseluruhannya penyertaan Amanah dibantu sepenuhnya oleh Pakatan Harpaan menjadikan ia begitu penting sehingga kita dapat muncul sebagai parti baru yang tidak boleh dipermainkan.
“Kita mendapat undi yang meyakinkan dan ini satu petanda bahawa rakyat mahukan suatu gabungan pakatan yang benar-benar boleh berhadapan dengan BN dalam PRU akan datang,” katanya.
Sementara itu beliau berkata faktor pengundi luar turut mempengaruhi keputusan pada hari ini.
“Antara faktor yang mempengaruhi keputusan pada hari ini ialah jumlah keluar mengundi yang rendah 71 peratus berbanding 84.5 dalam PRU dahulu. Ini adalah kerana pengudi yang berada di luar Kuala Kangsar tidak pulang pengundi.
“Lebih 300 pengundi DAP dipindah ke Padang Rengas dan pengundi muda tidak pulang kerana memikirkan mereka harus pulang untuk berhari raya dua minggu dari sekarang. Ini semua faktor yang mempengaruhi,” katanya.
SPR memaklumkan, jumlah peratusan pengundian di PRK Parlimen Kuala Kangsar hanya mencatatkan 71 peratus berbanding sasaran SPR sebanyak 75 peratus.
Salahuddin turut mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Termizi yang sanggup mewakili Amanah dan Pakatan Harapan dan telah memberikan usaha yang maksimum.
“Terima kasih kepada Dr Ahmad Termizi yang sudi menjadi calon, pertama kali menjadi calon dan beliau sangat diminati cuma undi sahaja belum cukup,” katanya.
Turut bersama dalam sidang media tersebut ialah Ahmad Termizi, Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.
Sementara itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan BN menang dengan majoriti 9,191 undi dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar. Calon BN meraih 16800 undi manakala Amanah memperoleh 7,609 undi dan Pas (6,902 undi).