Pendirian tegas Pas menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), khususnya Parti Amanah Negara dan DAP mencetus suasana tidak menentu dalam gabungan politik pembangkang.
Pemerhati politik melihat perhitungan Pas semakin bercelaru dan hilang kebijaksanaan apabila menolak tawaran bekerjasama dengan PH setelah pencapaian parti itu merosot teruk dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar awal Jun lalu.
Bagi Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad, sikap Pas itu dicurigai cuba menguatkan Umno ketika krisis dalaman sedang melanda parti sekular berkenaan.
“Apakah niat tersirat PAS dalam hal sebegini? Inilah yang patut dijadikan tanda tanya. Adakah di sini wujudnya apa-apa hasrat terpendam untuk menguatkan golongan puak-puak berkuasa yang tertentu?” tanya beliau.
Namun bagi penyokong biasa PH, keegoan Pas menolak kerjasama hanya akan menyebabkan pembangkang hilang taring dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 kelak.
Penyokong Amanah dari Segambut, seorang pemandu teksi yang mahu dikenali sebagai Wahab, 60, berkata, PAS akan menjejaskan peluang Amanah dalam PRU akan sekiranya parti itu dan Amanah bertanding di kerusi yang sama.
“Oleh kerana PAS menolak kerjasama dengan Amanah, maka PAS akan menganggap Amanah sebagai seteru. Ini bererti calon Amanah bukan sahaja perlu bertanding melawan calon BN tetapi juga perlu melawan calon PAS dan situasi ini telah pun wujud di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
“Kalau PAS berdegil tak mahu berunding lagi dengan Amanah maka keadaan akan bertambah mencabar bagi Amanah,” katanya.
Penyokong DAP, Damien Lau, seorang wargamas 65 tahun berpendapat PAS akan menjadi parti yang akan melemahkan kuasa PH di kebanyakan kerusi kawasan Melayu dan kalau masalah atau ‘gangguan’ dari PAS itu tidak dapat ditangani maka banyak kerusi Melayu akan hilang dari genggaman PH.
“Satu jawatankuasa khas mesti ditubuhkan oleh PH untuk mengkaji dan merancang bagaimana mahu mengatasi cabaran PAS sebab sekarang PM Najib sudah yakin akan kekuatan BN dan mungkin PRU14 akan diadakan pada tahun hadapan.
“Jika Pakatan tidak merancang dari awal, kekalahan teruk bukan mustahil seperti yang telah berlaku di Sarawak dan di Sungai Besar serta Kuala Kangsar baru-baru ini,” tambah Lau yang menganggap PAS amat ‘degil’ dan tidak akan berunding lagi dengan mana-mana pihak dari Pakatan Harapan.