Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berhubung kes pembunuhan peguam terkenal G. Balasundram 25 Januari lalu.
Mendiang G. Balasundram merupakan seorang peguam Hak Asasi Manusia yang telah banyak berjasa kepada rakyat tertindas sejak lebih 30 tahun. Pada 16 November 2010 beliau telah dibunuh dengan kejam dengan ditikam 17 kali .
Serahan memoramdum kepada Ketua polis Negara di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman disertai Pengerusi Parti Dr. Nasir Hashim , Setiausaha Agung S.Arutchelvan dan Ahli Parlimen Sg. Siput Dr. Jeyakumar bersama rombongan 30 orang pada jam 2.30 petang.
Sepuluh orang delegasi yang diketuai oleh Dr. Nasir Hasim, Pengerusi PSM kemudian masuk berjumpa dengan ACP Senu di mana satu dialog selama hampir 45 minit telah diadakan. Dalam Mesyuarat tertutup itu, PSM teah memberikan segala bukti yang ada mengapa PSM berpendirian ada unsur “cover up” dalam kes tersebut.
PSM mempunyai maklumat dan sumber yang amat relevan bahawa pembunuh dalam kes ini termasuk pisau yang digunakan sudah didapati.
Selain itu, pihak yang bertanggungjawab sudahpun diketahui tetapi polis tidak mahu mendakwa. PSM berpendapat mereka tidak didakwa kerana mereka mempunyai hubungan kuat dengan polis dan juga ada pegawai polis tinggi dan VIP yang mahu melindungi mastermind dalam pembunuhan ini.
Dr. Jeyakumar berkata, “Kita tahu polis tahu. Maka mengapa tidak didakwa?”
Dr Nasir pula memberi ingatan rakyat akan bangkit mempersoalkan kejadian pembunuhan itu jika pendakwaan tidak dilakukan
“Andaikata pembunuh peguam rakyat ini jika tidak dibawa ke pengadilan, maka masyarakat marhaen yang pernah peguam Balasundram wakili akan bangkit dan membantah,” katanya.
Beberapa orang petani dan pekerja yang pernah menerima perkhidmatan peguam dengan saudara Bala turut hadir memberi sokongan dan berkongsi pengalaman mereka bersama beliau.
Menurut mereka, Bala telah memperjuangan banyak kes-kes perkerja ladang, tanah pertani kecil dan pekerja kilang yang dibawah oleh PSM terutamanya di kawasan Perak.
Kehilangan Bala merupakan satu kehilangan yang besar kepada kaum tertindas dan juga PSM. Oleh itu PSM berpendirian pihak polis perlu bersikap profesional dan segera mendakwa pembunuh tersebut di mahkamah untuk menegakkan keadilan.
PSM memberi amaran, jika pembunuh tidak didakwa, maka parti itu akan membongkarkan isu berkenaan kepada umum.