Kenyataan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 akan dipinda agar menjadi lebih komprehensif bagi mengawal bahan kandungan multimedia termasuk internet, Facebook dan perisian dilihat oleh banyak pihak sebagai langkah sia-sia dan mengundur ke belakang.
Menurut Naib Presiden PKR Tian Chua kawalan yang ketat hanya boleh dilakukan terhadap bahan bercetak tetapi mustahil dilakukan ke atas kandungan internet.
“Usaha untuk mengawal internet sia-sia sahaja. Kaedah penerbitan di internet berbeza dengan penerbitan percetakan. Ada pelbagai tahap penerbitan bercetak dan boleh dikenakan pelbagai peraturan. Namun internet macam mana ketat pun mereka kawal mereka tidak akan berjaya,” tegasnya.
Tambah Tian, sekatan maklumat ini hanya menzahirkan ketakutan BN terhadap pendedahan penyelewengan mereka. Maklumat yang tersebuar luas dikhuatiri akan menyebabkan rakyat menolak gabungan pemerintah itu dalam pilihan raya ke-13 kelak.
“Pindaan akta ini satu lagi cubaan untuk memperluaskan kawalan media dan ketatkan lagi kebebasan media. Ia membuktikan BN sangat terdesak dan takut menghadapi pilihanraya umum akan datang dengan maklumat yang bebas sampai kepada rakyat.
“Pindaan ini juga akan menafikan janji yang dibuat oleh bekas PM Dr Mahathir ketika mula-mula memperkenalkan Mutimedia Super Corridor suatu ketika dahulu, bahawa kekebasan internet akan dihormati.
“Implikasi sekatan kepada internet boleh menyebabkan pelabur-pelabur asing dari syarikat multimedia antarabangsa tidak lagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama. Ataupun BN sebenarnya memang menganggap tidak ada harapan mendapatkan pelaburan daripada syarikat-syarikat berteknologi tinggi itu,” bidas Tian.
Tambah beliau, arus kesedaran maklumat telah menyebabkan pemuda di Tunisia memberontak dan mengusir diktator Zine El Abidin Ben Ali. Melalui facebook dan laman web mereka mendapat maklumat yang sangat luas mengenai penyelewengan pemerintah dan hal itu tidak boleh dihalang oleh pemerintah. Oleh itu BN gentar terhadap perkembangan terbaru tersebut.