Sebahagian besar penduduk Kampung Baru di ibu negara tidak bersetuju dengan pembangunan pencakar langit M101 Skywheel didirikan di satu-satunya perkampungan Melayu di Kuala Lumpur tetapi mengakui mereka terpaksa akur dan tidak mampu melakukan apa-apa.
Malah, rata-rata penduduk Kampung Baru ketika ditemui Malaysiakini turut tidak mengetahui tentang projek menara setinggi 52 tingkat itu kerana tidak dimaklumkan tentang pembangunan berkenaan.
Bagi Ibrahim Alias yang telah mendiami kampung itu sejak kecil melahirkan rasa kecewa kerana penduduk sekitar tidak dimaklumkan tentang pembangunan itu.
Ibrahim, 61, berkata, pemaju dan pihak berkuasa tempatan sepatutnya memaklumkan tentang projek mega tersebut kerana ia dibina di kampung Melayu berkenaan.
“Apa kita nak buat? Kita tak ada pilihan. Kita tak boleh nak harap apa-apa. Kita tak tahu. Banyak (penduduk kampung) tak tahu. Inilah masalah dengan kita punya bangsa, tak ada risalah. Tak diberitahu.
“Beritahulah sebab kita penduduk tempatan. Orang kafir pun tak buat perangai macam tu. Sepatutnya beritahulah kita. Kita tak tahu, notis tak ada tiba-tiba ada roda Ferris kat atas (bangunan),” katanya.
Bagi Hafiz Mohamad, 25, walaupun masih muda namun dia mengharapkan agar keaslian kampung Melayu itu tidak terhakis meskipun pelbagai pembangunan dilakukan.
Menjadi generasi ketiga yang tinggal di Kampung Baru, Hafiz turut melahirkan rasa sedih dengan pelbagai projek yang sedang dibangunkan di kawasan berkenaan.
“Bila dah naik bangunan orang luar yang duduk. Sekarang ini di Kampung Baru pun ramai orang luar. Jadi, keaslian tu dah tak ada. Bila naik bangunan hilang keaslian Melayu, tak ada identiti Melayu. Memang sedihlah.
“Sekarang dah generasi lain, banyak pentingkan duit. Ada yang jual tanah. Cuma yang (orang) lama yang masih tegakkan lagi kawasan ini,” kata Hafiz.
Turut berkongsi pendapat sama ialah seorang lagi penduduk yang telah menjalankan perniagaan di Kampung Baru selama lebih 40 tahun, Azman Abd Aziz.
Menurut Azman, 59, dia tidak menghalang sebarang pembangunan di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, selaku penduduk tempatan dia mengharapkan orang Melayu tidak dipinggirkan memandangkan Kampung Baru satu-satunya kampung Melayu di kawasan bandar.
“Kita bukan nak bangkang pembangunan tapi jangan pinggirkan orang Melayu. Sedih, sebab kampung Melayu buatlah seperti kampung warisan.
“Jangan kejar pembangunan dan pinggirkan orang Melayu,” kata Azman.
Rosina Samah, 56, turut melahirkan perasaan sama apabila dan berdoa tidak orang Melayu yang akan diusir atau dihalau berikutan projek pencakar langit itu.
“Memang tarik pelancong tapi orang kat sini macam mana? Ada masjid, surau. Ini tempat orang Melayu Islam. Dah buat macam-macam, macam mana?
“Agak sedih tapi tak tahu nak buat apa. Dah menteri macam tu tak tahu nak buat apa, terpulanglah. Kita doa jangan sampai ada benda tak eloklah.
“Janganlah nanti orang Melayu Kampung Baru dihalau, itu harapan mak cik,” ujarnya.
M101 Skywheel adalah sebuah projek mega setinggi 52 tingkat yang dibina di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru.
Projek tersebut diharap mampu menarik lebih ramai pelancong ke negara ini apabila roda Ferris yang bakal ditempatkan di kedudukan tertinggi di menara itu menawarkan pemandangan ibu negara dari ketinggian 220 meter.
Ia bakal menjadikan roda Ferris yang tertinggi di Asia Tenggara.
M101 SkyWheel juga akan dilengkapi lebuh raya baru, stesen MRT, hotel Planet Hollywood serta pusat beli-belah di atas awan pertama (sky shopping mall) yang menjadikannya sebagai pusat bandar kedua di Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi jaminan bahawa projek mega itu tidak akan menjejaskan identiti kampung Melayu berkenaan.