Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Najib Razak pada 21 Oktober lalu diibaratkan oleh Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Ir Khalid Samad seperti kereta yang kehabisan minyak.
Beliau berkata demikian kerana menjangakan hasil negara pada 2017 akan susut dengan banyaknya berikutan kekurangan pungutan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta penurunan harga petroleum dunia, dan tidak sebagaimana yang dibentangkan oleh Najib kononnya kerajaan BN akan mampu mengumpul hasil sebanyak RM219.7 bilion.
“Belanjawan 2017 bagaikan sebuah kereta yang tangki minyaknya hanya tinggal setengah liter minyak sahaja,” ulas Khalid sinis kepada Suara pakatan dalily.
Hujah beliau dipersetujui oleh seorang ahli perniagaan tempatan, Robert Leong yang memiliki kilang perabot di Kepong, Kuala Lumpur. Leong berpendapat Bajet 2017 menunjukkan kantung negara sedang berada dalam keadaan parah.
“Saya dapat perhatikan negara kita amat bergantung kepada kutipan GST dan tanpa GST kita akan terus bankrap. Ini semua disebabkan oleh pengurusan kewangan yang cuai dan perbelanjaan yang melampaui batas kerajaan,” katanya.
Robert menegaskan kalau corak pentadbiran yang lemah ini diteruskan maka negara-negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam akan mendahului Malaysia dan negara ini akan jatuh ke kedudukan tercorot di rantau ASEAN.
Manakala seorang suri rumah Pauline Tan, 44 tahun, berpendapat hanya BR1M yang menjadi kemuncak pembentangan bajet, selainnya tidak memberi banyak manfaat kepada rakyat bawahan.
“Saya hanya berminat hendak tahu jumlah BR1M untuk tahun hadapan sahaja. Bagus jumlahnya naik RM200 menjadi RM1,200. Selain itu, tiada apa-apa yang memberangsangkan dalam Belanjawan 2017,” katanya.
Beliau lebih berharap Bajet 2017 mampu menurunkan kos sara hidup, terutamanya harga barang makanan di pasar dan juga pasaraya kerana katanya, keluarga yang punyai lima orang menghabiskan RM2,000 sebulan hanya untuk membeli makanan.