Tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggunakan ‘sub judis’ sebagai alasan untuk menghalang perbahasan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang terkait skandal dana 1MDB membawa cabaran kepada Peguam Negara mengambil tindakan di mahkamah berkaitan kes ini.
“Jika kita mengikut logik bodoh ‘sub judis’ Pandikar yang diterima kerajaan BN, Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali patut menggunakan kenyataan rakan sejawatnya di Switzerland untuk menangkap kesemua pegawai 1MDB dan membekukan aset berkaitan untuk siasatan penipuan melibatkan dana berdaulat Malaysia bernilai berbilion ringgit,” kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dalam satu kenyataan hari ini.
Biar mengingatkan Pandikar bahawa Malaysia bukanlah negeri anggota ke-51 Amerika Syarikat, dan membahaskan saman sivil DOJ melibatkan 1MDB di sini adalah langsung tidak sub judis.
Menurut Lim, dua orang bekas hakim senior, mantan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Yunus dan mantan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram kemudiannya menyatakan bahawa keputusan Pandikar, seorang bekas peguam, adalah salah dari segi undang-undang.
“Biar saya ingatkan Pandikar bahawa 1MDB adalah subjek utama siasatan pengubahan wang haram dan penipuan di sekurang-kuranya enam negara, termasuk Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.
“Sekiranya teori sub judis Pandikar itu tepat, kita bolehlah bergantung kepada apa sahaja kenyataan umum yang dikeluarkan penyiasat enam negara asing itu sebagai bukti untuk menyabitkan Najib, atau nama popularnya ‘Malaysian Official 1’ di mahkamah Malaysia,” katanya.
Di Singapura bulan ini, bank Falcon pula ditutup selepas BSI Bank, dan ini pula selepas dua bank lain, DBS dan UBS didenda kerana melakukan pengubahan wang haram melibatkan 1MDB. Dua pegawai bank turut didakwa di Singapura atas pelbagai kesalahan jenayah melibatkan skandal 1MDB.
Lim berkata, berdasarkan ‘kebijaksanaan’ Pandikar, Bank Negara Malaysia sepatutnya boleh menggunakan keterangan dokumen yang dikemukakan rakan Bank Negara Singapura dalam kes-kes di atas untuk memulakan prosiding ke atas bank-bank di Malaysia yang digunakan oleh 1MDB atau anak syarikatnya untuk mengubah dana berjumlah besar ke akaun-akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.
“Juga awal bulan ini, pendakwaraya Swiss mengesyaki bahawa 1MDB dan anak syarikatnya terlibat dalam penipuan ala skim Ponzi,” katanya. Malaysia dateline