Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengajak rakyat negara ini menguatkan semangat dan terus gigih membina “Malaysia baru” yang lebih adil, makmur dan sejahtera sempena kedatangan Tahun Baru Cina.
Ketua pembangkang itu membayangkan, orang ramai boleh belajar daripada sifat sabar, disiplin dan teratur pada ayam jantan untuk mencipta kejayaan.
“Ayam adalah lambang kebangkitan, fajar yang menyinsing.
“Kejayaan pada tahun ini hanya akan diperolehi melalui kegigihan dan kesungguhan.
“Oleh kerana unsur api mengusai tahun ini, ayam yang dilihat penuh kesabaran, disiplin dan teratur ini juga mempunyai semangat yang membara pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini.
Mengikut kalendar Cina, tahun ini adalah tahun ayam.
Dr Wan Azizah juga menjangkakan 2017 ini “amat getir”.
Justeru, kata anggota parlimen Permatang Pauh itu, orang ramai perlu berusaha dengan lebih gigih bagi mengharunginya.
“Namun demikian, jangan sesekali kita terlupa (isu) salah guna kuasa dan penyelewengan para kleptokrat yang mengakibatkan kita terpaksa menempuh cabaran-cabaran ini.
“Kesan kleptokrasi menyebabkan matawang kita menjadi lemah dan mengakibatkan kelesuan ekonomi. Lalu, yang menanggung beban adalah rakyat yang hilang pekerjaan dan dihimpit kos sara hidup yang makin meninggi,” katanya.
Namun kata beliau, walau apa pun rintangan mendatang, masyarakat jangan sesekali patah semangat.
“Bulatkan tekad dan kuatkan semangat dalam menempuh segala cabaran.
“Kegigihan dan kesungguhan ditagih dalam perjuangan panjang kita memperbaiki keadaan sedia ada serta membina Malaysia baru yang lebih adil, makmur dan sejahtera,” katanya.